DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam dua hari lepas untuk mendapat rawatan kerana mengalami kecederaan di leher selepas terjatuh.
Sehubungan itu, perbicaraan kes rasuah beliau hari ini yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi akan ditangguhkan.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah, anak guamnya itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam pada 22 Ogos kerana kecederaan akibat jatuh minggu lalu, lapor AstroAwani.
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun meminta pihak pembelaan memanggil doktor berkenaan untuk hadir ke mahkamah hari ini bagi menerangkan kecederaan dan prosedur terbabit sebelum menetapkan satu tarikh lain.
Ketika ini mahkamah ditangguhkan sementara menunggu doktor berkenaan mengesahkan kehadiran.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
BERITA LANJUT MENYUSUL

