TINDAKAN Pakatan Harapan (PH) Melaka untuk membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke mahkamah bukanlah menidakkan kuasa Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Sebaliknya, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, langkah tersebut diambil untuk memastikan pihak berkaitan dapat membuat semakan mengenai proses dan fakta yang ada.
Kata beliau, ia termasuk mengambil kira representasi semua Ahli DUN dalam menentukan keputusan pembubaran DUN.
Adly menegaskan keputusan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan memberi risiko terhadap kesihatan rakyat.
Pada masa sama, jelas beliau, pengisytiharan darurat pula akan menyebabkan kuasa terhad kepada negeri di samping memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan pelaburan.
“PH Melaka ingin menegaskan bahawa langkah membawa isu pembubaran DUN ke mahkamah bukanlah bermakna mempertikaikan kuasa Mohd. Ali kerana ia selaras dengan peruntukan Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri Melaka.
“Diharapkan langkah ini boleh membantu menstabilkan semula politik Melaka tanpa perlu mengadakan PRN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: PRN Melaka bergantung kepada hasil kajian MKN, SPR dan KKM – Hishammuddin
Terdahulu, Adly dalam hantaran di Facebook menjelaskan PH Melaka tidak mempunyai rancangan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Adly, segala usaha buat masa ini hanya kepada membawa pembubaran DUN Melaka ke mahkamah untuk diadili.
ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, semalam dilaporkan berkata semua 15 ADUN di Melaka yang menyokong PH, dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini, bagi menyelesaikan krisis pembubaran DUN Melaka.
Kelmarin, Adly dalam kenyataan memberitahu PH Melaka akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan kerajaan caretaker seperti mana diumumkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Adly turut menegaskan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak wajar dibenarkan menjadi Ketua Menteri kepada kerajaan caretaker.
Adly turut menyelar permohonan Sulaiman kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka Ke-14.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

