KEMENTERIAN Pertahanan menyantuni 11 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Daerah Daro dan Matu menerusi siri Jelajah Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026, Bahagian Sibu, hari ini.
Menerusi PVM kali inI, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyantuni 11 orang veteran tersebut yang terdiri daripada golongan asnaf, sakit kronik, balu dan kalangan ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU).

MINDEF dalam kenyataan memaklumkan, Program PVM 2026 adalah antara inisiatif utama kemenerian yang digerakkan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dalam usaha memperkasa kebajikan veteran ATM dan keluarga.
Jelas MINDEF, Platform PVM menjadi kaedah terbaik MINDEF mendengar sendiri isu dan keperluan semasa veteran ATM dalam menilai akses kepada perkhidmatan kesihatan, peluang ekonomi serta sokongan sosial sekaligus membantu pihak kementerian dan JHEV ATM menambah baik dasar, pendekatan dan program yang tersusun dan inklusif.
“Selain bertanya khabar, program ini turut memanfaatkan peluang menyampaikan sumbangan kebajikan, termasuk bantuan keperluan asas, peralatan pesakit, bantuan baik pulih rumah dan inisiatif penghargaan melalui penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM), pengagihan 100 Bakul Rahmah turut disampaikan kepada setiap persatuan veteran setempat.
“Veteran ATM adalah aset negara yang harus dihargai kerana pengorbanan dan jasa golongan ini tidak pernah luput daripada ingatan,” jelas MINDEF.
Kenyataan itu menambah, MINDEF akan terus memperluas program sebegini ke seluruh negara bagi memastikan tiada veteran ATM yang tercicir, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, sekaligus memperkukuh agenda memastikan Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP) terus dibela, khususnya veteran ATM dan keluarga.

Hadir sama dalam program itu Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM; Sophian Isswandy Ismail,
Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged); Brigedier Jeneral Datuk Jafri Sulaiman, Pengarah JHEV ATM Cawangan Sarawak; Mejar Steven Kadir, petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu dan persatuan-persatuan veteran ATM sekitar Sibu.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

