Kejadian kira-kira pukul 3.35 petang semalam itu turut dirakam orang ramai dan berlaku di Jalan Ipoh berhampiran sebuah stesen minyak di Taman City, Kuala Lumpur. Foto JSPT KL

LELAKI yang videonya tular di media sosial sedang solat di tengah jalan sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas adalah pesakit yang melarikan diri dari Hospital Selayang.

Kejadian kira-kira pukul 3.35 petang semalam itu turut dirakam orang ramai dan berlaku di Jalan Ipoh berhampiran sebuah stesen minyak di Taman City, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, anggotanya yang membuat rondaan menerima maklumat berkaitan kesesakan lalu lintas berlaku di Jalan Ipoh sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya,sampai di lokasi kejadian, anggota itu mendapati terdapat seorang lelaki berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat.

“Anggota JSPT kemudiannya memujuk lelaki itu dan membawanya ke stesen minyak berhampiran untuk menenangkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Sarifudin berkata, lelaki itu juga didapati memakai gelang putih menyerupai gelang hospital.

Ujarnya, semakan lanjut mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu adalah pesakit psikiatri yang melarikan diri dari Hospital Selayang.

“Pihak Hospital Selayang telah dihubungi dan menghantar ambulan ke lokasi kejadian dan membawa lelaki itu ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” tambahnya.