DUA beradik Palestin mengubah sebuah pesawat Boeing 707 lama kepada sebuah kafe di Nablus, Tebing Barat.

INISIATIF dua beradik kembar dari Tebing Barat menukar sebuah pesawat Boeing 707 lama kepada sebuah kafe dan restoran memberi pengalaman baharu kepada 99 peratus penduduk Palestin yang tidak pernah menaiki kapal terbang.

Wilayah yang dijajah Israel itu tidak pernah memiliki lapangan terbang awam dan hanya mereka yang berkemampuan termasuk duta, menteri dan datuk bandar berpeluang menaiki kapal terbang dari Jordan.

Pengunjung berpeluang menaiki pesawat Boeing 707 lama yang diubah kepada sebuah kafe di Nablus, Tebing Barat.

Namun di utara bandar Nablus, Khamis al-Sairafi dan adiknya Ata menawarkan sesuatu yang baharu kepada penduduk Palestin iaitu peluang melihat dan menaiki sebuah kapal terbang.

Setelah 25 tahun berusaha, Khamis dan Ata membuka Restoran dan Kedai Kopi The Palestin-Jordanian Airline al-Sairafi pada 21 Julai lalu.

Keluarga, rakan dan pasangan akan datang untuk minum di kafe itu yang terletak di bawah badan pesawat berkenaan.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar di dalam badan pesawat dengan dikenakan caj sebanyak lima shekel (RM6.27) setiap orang.

Menurut pelanggan kafe itu, mereka terdorong untuk berkunjung setelah melihat gambar pesawat yang diubahsuai tular secara dalam talian.

“Sudah lama saya ingin melihat tempat ini. Saya harap saya akan datang melihat tempat ini sebelum ia dijadikan sebuah kafe lagi,” kata seorang pelanggan Majdi Khalid.

Selama bertahun-tahun, pesawat itu tersadai di tepi jalan utama utara Tebing Barat sehingga menjadi tajuk perbualan penduduk yang bingung dengan kehadirannya.

Kedua-dua beradik itu kemudiannya berhasrat mengubah pesawat tersebut menjadi kafe dan restoran pada akhir 1990-an setelah Khamis melihat pesawat Boeing yang tersadai berhampiran bandar Safed, utara Israel.

Pesawat itu sebelum ini digunakan kerajaan Israel dari 1961 hingga 1993 sebelum ia dibeli tiga ahli perniagaan Israel yang mahu menukarnya kepada sebuah restoran namun hasrat mereka tidak menjadi kenyataan selepas berlaku masalah dengan pihak berkuasa tempatan.

Khamis akhirnya berjaya mengesan pemilik kapal terbang itu dan bersetuju membelinya pada harga 72,000 pound (RM410,211) pada 1999.

Mereka turut membelanjakan sebanyak 36,000 pound (RM205,057) untuk lesen, permit dan pengangkutan ke Tebing Barat.

DUA beradik Palestin mengubah sebuah pesawat Boeing 707 lama kepada sebuah kafe di Nablus, Tebing Barat.

Menurut Khamis, Datuk Bandar Nablus, Ghassan Shakaa bersetuju meluluskan pengangkutan dan ubah suai pesawat dengan segera dan tempoh 13 jam diperlukan untuk membawa jet berkenaan ke Nablus.

Selepas kebangkitan rakyat pada pertengahan 2000, kedua beradik itu menghentikan perniagaan barang terpakai mereka dan membuka taman hiburan keil pada 2007.

Dan setelah lebih sedekad menyimpan, mereka memutuskan pada pertengahan tahun lalu mendapatkan semula kerugian dengan mengubahsuai kapal terbang berkenaan.

Selepas beberapa bulan, pesawat itu sedia beroperasi dengan bahagian dalam dicat baharu lengkap bekalan elektrik dan sembilan meja serta pintu masuk pesawat.

Bahagian hidung pesawat dicat dengan warna bendera Palestin dan ekor dengan bendera Jordan.

Mereka telah membuka kafe di bawah kapal terbang dan bercadang membuka restoran pada bulan hadapan.

Menurut pasangan berusia 60 tahun itu, mereka kecewa tidak mendapat sokongan kewangan dari pihak berkuasa tempatan dan mahu mencari rakan pelabur.

“InsyaAllah, saya berharap projek ini berjaya dan menjadi yang terbaik,” kata Ata al-Sairafi.