PENYANYI Hazman Al-idrus telah melancarkan single terbaharunya yang berjudul Aura sebagai “comeback” dan juga hadiah buat peminat yang setia menanti.

Lagu Aura yang berentak Rock itu adalah 100 peratus hasil sentuhannya sendiri dan dia berharap ia mampu memberikan aura baharu kepada karier nyanyiannya serta dapat memikat hati peminat muzik tanah air.

Walaupun Hazman atau Syed Muhammad Hazman Syed Yusof Al-Idrus, 33, sibuk dengan karier lakonan, namun pembikinan Aura itu dapat dihasilkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

“Pengalaman yang mencabar sebab ini adalah karya sulung saya dan saya memang tiada pengalaman untuk menerbitkan lagu sebelum ini.

“Banyak perkara baharu yang saya belajar tentang pembikinan muzik, mulai dari menulis lirik lagu, mencipta melodi, masuk ke studio untuk rakaman, penyusunan muzik dan vokal sehinggalah proses penerbitan lagu ini. Bukan mudah, namun ia adalah proses pembelajaran bagi saya supaya lebih mahir dimasa akan datang.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih dan bersyukur sebab mempunyai pasukan yang faham dengan apa yang saya cuba sampaikan dan mereka cuba merealisasikan karya ini dengan bersungguh-sungguh.

“Saya memilih Encik Mattao sebagai Music Arranger & Programmer kerana beliau amat mudah untuk berbincang dan senang apabila berurusan. Saya juga amat sedih dengan permergian pemain bass untuk lagu Aura ini iaitu Bob Effendy yang telah meninggal dunia sebelum dapat mendengarkan lagu ini dilancarkan secara rasmi,” katanya kepada URTV.

Hazman bernaung di bawah label dan pengurusan miliknya iaitu HAI PRODUCTION sebagai pengurusan rasmi yang menguruskan segala hal berkaitan karier lakonan dan nyanyian serta aktiviti seni beliau. Aura merupakan single pertama terbitan HAI PRODUCTION.

Bercerita lanjut tentang karya sulungnya itu, menurut Hazwan, ada kisah di sebalik ilham dan inspirasi Aura.

“Saya mendapat ilham lagu Aura ini tepat pukul 12 tengah malam di tepi sungai rumah datuk saudara di Janda Baik, Pahang.

“Suasana di sana lain macam, jadi setelah mendapat ilham mencipta melodi serta lirik tu, saya pun terus simpan gitar dan dengan rasa bersemangat saya dapat idea untuk namakan lagu ini dengan judul Aura.

“Dengan `comeback’ saya ke dunia nyanyian ini saya menjadikan Aura sebagai inspirasi bagi diri saya sendiri supaya dapat memberikan aura yang positif dalam kerjaya dan aktiviti seni serta kehidupan yang saya jalani,” tuturnya.

Sebelum ini Hazman pernah mewakili Malaysia untuk rancangan realiti nyanyian D’Academy Asia musim pertama di Indonesia pada 2015.

Walaupun hanya berada di Top 10, namun daripada situlah bermula karier lakonannya apabila ditawarkan untuk membintangi beberapa buah telemovie di Indonesia sebagai watak utama antaranya Jodoh Ditangan Ilahi, Aku Hanya Butuh Maaf Anakku serta Cinta Dua Generasi.

Selain melebarkan bakat lakonan di negara seberang, Hazman turut menerima tawaran lakonan daripada produksi tanah air dan diberi kepercayaan memegang watak hero untuk beberapa buah drama tempatan antaranya Wasiat Dari Jordan, Arjuna Cinta Keisha dan banyak lagi.

Drama lakonan Hazman yang terbaharu iaitu Kisah Cinta Kita terbitan A.Aida Production bakal ditayangkan di Slot Akasia TV3 pada pertengahan November ini.

Aura kini boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh didengari di semua platform digital seperti Joox, Spotify, Apple Music, Youtube Music, KKBox, Deezer dan lain-lain lagi. Muzik video lirik rasmi juga boleh ditonton di saluran Youtube Hazman Al-idrus.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram