MERAH, biru, kuning oren dan hijau. Itulah warna-warna yang melatari sungai ini, menjadikan ia sebagai salah satu keindahan alam ciptaan Tuhan yang mengagumkan.

Terletak di Colombia, sungai yang diberi nama Cano Cristales oleh penduduk setempat ini memiliki lima warna berbeza dan digelar sebagai ‘sungai lima warna’. Sungai unik ini mengalir melalui kawasan taman negara di Siera de la Macarena, Columbia.

Sungai ini juga dikenali dengan nama ‘Liquid Rainbow’. Keunikannya secara tidak langsung diiktiraf sebagai antara sungai tercantik di dunia.

Sungai Cano Cristales.

Dahulu, masyarakat luar tidak begitu mengetahui kewujudan sungai ini disebabkan faktor geopolitik yang tidak stabil di rantau tersebut. Sebelum tahun 2009, lokasi sungai itu berada di bawah penguasaan angkatan bersenjata revolusi Columbia.

Bagaimanapun selepas satu perjanjian diadakan dengan pihak kerajaan, angkatan tersebut akhirnya membuka lokasi berkenaan kepada orang awam. Pembukaan bersejarah ini telah menamatkan penguasaan selama 40 tahun angkatan revolusi di taman negara di Siera de la Macarena.

Kelonggaran syarat itu juga secara tidak langsung memberi peluang kepada saintis tempatan untuk melakukan penyelidikan lebih lanjut terhadap sungai tersebut.

Berbanding sebelum ini, maklumat tentang kewujudan Cano Cristales tidak didedahkan secara umum. Malah, tiada sebarang dokumentasi pernah dijalankan ekoran lokasi berkenaan pernah dicop sebagai kawasan hitam.

Sungai Cano Cristales.

Selepas ia dibuka kepada umum, sungai lima warna ini mula mendapat perhatian terutama di kalangan saintis tempatan mahupun luar negara, selain menjadi produk pelancongan buat Columbia. Pihak kerajaan telah giat mempromosikan sungai itu bagi menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

Kemunculan lima warna di sungai ini hanya boleh dilihat pada masa tertentu sahaja. Kebiasaannya, fenomena unik ini akan berlaku pada akhir Julai sehingga November pada setiap tahun.

Bagaimana sungai berkenaan kelihatan berwarna-warni?

Sebenarnya, kolaborasi lima warna yang menjadikan seolah-olah sungai berkenaan berwarna-warni terhasil melalui pembiakan sejenis tumbuhan.

Difahamkan, flora yang terdiri daripada spesies endemik akan mulai tumbuh pada bulan Julai sehingga November. Spesies endemik yang banyak tumbuh di situ digelar sebagai Macarenia Clavigera.

Macarenia Clavigera, flora yang tumbuh di dasar sungai dan memberikan kesan warna warnai kepada sungai tersebut.

Sebelum itu ramai yang menyangka tumbuhan tersebut ialah alga atau lumut. Tetapi ia bukan seperti disangka kerana flora unik bukan dalam kumpulan spesies alga.

Tumbuhan akuatik ini hanya akan hidup pada jangka waktu tertentu sahaja. Faktor paras air turut memainkan peranan pertumbuhan flora ini di dalam air sungai, selain kadar sinaran matahari yang cukup untuk menghasilkan warna.

Berdasarkan rekod penyelidikan, tumbuhan akuatik ini hidup di kawasan berbatu di dasar sungai Cano Cristales. Dan di sungai ini tidak didiami sebarang spesies ikan.

Pada pertengahan bulan Disember hingga Mei, lokasi sungai ini akan ditutup dari kunjungan awam. Operasi penutupan ini dibuat kerana kawasan berkenaan dilanda musim kemarau yang menyebabkan paras air sungai menjadi cetek dan turut menjejaskan pembiakan Macarenia Clavigera di situ.

Cara terbaik untuk sampai ke sungai ini menggunakan jalan udara. Boleh juga melalui jalan darat namun keadaan bentuk bumi di situ menjadikan jarak perjalanan lebih jauh dan memakan masa sehingga 12 jam untuk sampai ke kawasan sungai tersebut.

Oh ya, sungai tercantik di dunia ini turut mengetatkan had bilangan pengunjung yang ingin datang ke situ. Dikatakan hanya 200 orang dibenarkan melawat kawasan sungai tersebut pada setiap hari.

____________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen