utusan rom peluk islam

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa seorang utusan dari Rom telah tiba ke Madinah untuk bertemu dengan khalifah Saidina Umar al-Khattab r.a. Tujuannya bertemu Amirul Mukminin bagi menyampaikan sesuatu daripada rajanya.

Setiba di Madinah segera dia mencari di manakah istana khalifah. Dalam fikirannya sudah tentu istana Umar r.a. begitu megah, besar dan dijaga pula oleh pengawal yang ramai, sesuai dengan kehebatan umat Islam pada waktu itu.

Dia lalu bertanya kepada penduduk Madinah di manakah kediaman Amirul Mukminin apabila tidak menemuinya. Menurut penduduk Madinah, kedudukan rumah Umar al-Khattab r.a. terletak di satu kawasan berhampiran padang pasir.

Ketika sampai di tempat yang dimaksudkan, dia melihat sebuah rumah kecil dan di halaman rumah kelihatan seorang lelaki sedang tidur di bawah sepohon tamar dengan tongkatnya digunakan sebagai alas kepala. Setelah diamati dengan teliti, tahulah dia lelaki yang tidur itu adalah Saidina Umar al-Khattab r.a. yang dicari-carinya.

Utusan Rom berasa hairan dan terpegun seketika. Benarkah ini pemerintah Islam yang sangat digeruni oleh Timur dan Barat? Tidak langsung kelihatan pengawal peribadi di sekeliling lelaki itu, bahkan keadaannya cukup zuhud tidak sebagaimana pemerintah yang lain.

Ketika itu juga terfikir di benaknya, inilah saat yang paling sesuai baginya menunjukkan ketaatan dan berjasa kepada rajanya dengan membunuh Saidina Umar r.a. yang sedang bersendirian. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Saidina Umar r.a. dengan pedang terhunus di tangan, bersedia untuk menetak Amirul Mukminin.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena, muncul dua ekor singa yang datang entah daripada mana cuba menerkamnya. Spontan itu juga si utusan Rom menjerit ketakutan sehingga pedang yang terhunus di tangannya jatuh dan menyebabkan Saidina Umar r.a. yang sedang nyenyak tidur terjaga. Sekelip mata itu juga singa yang begitu besar dan ganas itu hilang serta merta daripada pandangan si utusan Rom.

Melihat Saidina Umar r.a. terjaga daripada tidur, menggigil si utusan kerana menyangka sudah pasti Saidina Umar r.a. akan murka.

Lalu dengan segera dia menyatakan tujuannya dan menceritakan segala peristiwa yang berlaku padanya sebentar tadi kepada Saidina Umar r.a. Dengan takdir Allah, akhirnya  si utusan Rom memeluk Islam setelah takjub dengan peristiwa yang dialaminya sebentar tadi.

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare