DALAM Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pas yang ketika itu bertanding sebagai blok ketiga Gagasan Sejahtera gagal memenangi walau satu kerusi pun yang ditandingi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Kali ini situasinya berbeza apabila Pas bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Pas akan menampilkan lapan calon termasuk Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek yang akan sekali lagi bertanding di DUN Duyong dan bertemu penyandang kerusi, Damian Yeo Shen Li dari Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, sebaik sahaja disahkan semasa hari penamaan calon, 8 November lalu, Kamarudin terpalit dengan kontroversi peribadi mengenai sijil pendidikannya.
Tidak mahu mengambil ‘pusing’ dengan mainan kempen lawannya, Kamarudin menyifatkan perkara itu adalah biasa dan sama sekali tidak menjejaskan peluangnya merampas kerusi DUN Duyong.
Kamarudin malah menyifatkan isu yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab itu hanya mempopularkan dirinya kepada pengundi.
Menurut beliau, isu yang lebih besar tentunya melibatkan pentadbiran negeri dalam tempoh sukar krisis kesihatan dan ekonomi yang belum berakhir.
Baca artikel berkaitan: Pas tanding kerusi dimenangi Pakatan Harapan di Melaka – Kamarudin
“Sebenarnya isu ini telah dimainkan sejak PRU-14 lagi. Saya ucap terima kasih sebab mempopularkan saya tetapi tak sepatutnya ada serangan peribadi dalam kempen PRN.
“Mereka ini sebenarnya nak cari kepincangan saya selama 18 bulan sebagai Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka tetapi saya tak ada isu. Tiada kes rasuah, pecah amanah dan sebagainya.
“Saya tak layan dah lama, jadi bila timbul semula saya kata saya akan jawab nanti sewaktu hari mengundi sebab kalau saya layan, mereka akan tanya pula sijil nikah dan sebagainya,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas lanjut, Kamarudin turut melihat sentimen pengundi terarah kepada PN disebabkan gelombang aura yang dibawa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pengundi terutama masyarakat setempat di DUN Duyong yang ‘tertarik’ dengan PN disebabkan cara pentadbiran berkesan yang telah dilaksanakan Muhyiddin sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Atas dasar itu juga, Kamarudin berkata, PN berani meletakkan Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ berbanding pencabar mereka baik Barisan Nasional (BN) mahu pun PH.
“Berbeza dahulu kehadiran saya sebagai calon Pas dengan logo bulan tetapi sekarang bawah PN. Ramai juga tanya kenapa kita masuk atas tiket PN tetapi saya nak sebut PN ini lebih terbuka dan inklusif.
“Kalau setakat logo bulan mungkin kelompok Pas sahaja yang seronok tetapi PN lebih terbuka dan saya melihat ada satu gelombang situasi sekarang kepada PN lebih-lebih lagi dengan aura dibawa Muhyiddin.
“Kita tahu beliau (Muhyiddin) mengambil alih kerajaan sewaktu kritikal dan telah menguruskan negara dengan begitu baik serta meninggalkan legasi Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga ekonomi dah boleh mula bergerak.
“Namun begitu, rakyat melihat tidak sepatutnya pihak tertentu menurunkan Muhyiddin dengan sebegitu rupa. Saya rasa ini petanda baik, cuma kita akan lihat hasilnya, Sabtu ini,” jelas beliau.
Selain menentang Damian Yeo, Kamarudin juga bakal menghadapi saingan Mohd. Noor Helmy Abu Halen dari BN dan Mohd. Faizal Amzah yang mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta dua calon bebas.
Damian memenangi kerusi DUN Duyong selepas memperoleh majoriti 2,895 dalam PRU-14 lalu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

