BAGI mengembangkan lagi jenama UtusanTV dan segala perkhidmatan yang ditawarkan dalam era digital, satu pertemuan diadakan bersama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di pejabatnya di ibu negara, hari ini.
Dalam pertemuan selama sejam itu, UtusanTV turut menerangkan mengenai kedudukan terkini syarikat selain menawarkan ruang dan peluang untuk bekerjasama dengan agensi terbabit.
Dengan jumlah terkumpul pengikut di semua platform media sosial melebihi 6 juta, UtusanTV menjadi pilihan utama ramai pihak untuk mendapatkan berita terkini yang sahih dan tepat.
UtusanTV juga menawarkan platform mengembangkan jenama klien melalui platform digital khususnya di TikTok.
UtusanTV diwakili Ketua Pengarang, Metra Syahril Mohamed selain turut dihadiri Pengarang Majalah, Rosmarlinda Kamarudin; Pengarang Media Sosial, Auzaee Athallah dan Pengurus Editorial, Nurfarahin Mohamad.
Selain ruang dan peluang kerjasama, pelbagai perkara dibincangkan termasuk isu-isu politik semasa serta perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO turut menzahirkan harapan untuk UtusanTV terus berkembang dengan membantu menyalurkan maklumat yang tepat dan baik kepada rakyat.
Terdahulu UtusanTV turut mengunjungi Pejabat Bahagian Komunikasi Korporat MARA yang disambut Pengarahnya, Abdul Fareas Noew Hanzah.

Perbincangan lebih kepada kerjasama strategik antara MARA dan UtusanTV termasuk liputan acara serta majlis dianjurkan MARA.

