Kesejahteraan anggota, veteran ATM antara teras PSPN 2026-2030

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Pertahanan akan terus meletakkan kesejahteraan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tonggak utama dalam perancangan pertahanan negara menerusi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha memperkasa kebajikan warga pertahanan bukan sekadar menghargai jasa dan pengorbanan mereka, malah menjadi faktor penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap ketika hadir ke Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) di Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

Beliau berkata, anggota ATM yang menikmati kehidupan lebih sejahtera mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

“Bangsa yang besar adalah bangsa yang tidak melupakan jasa dan pengorbanan perwira-perwiranya.

“Kami percaya pemerkasaan kesejahteraan anggota ATM akan turut meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara,” katanya ketika melancarkan PSPN 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 di Hotel Royale Chulan, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman ketika hadir ke Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) di Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

Apa itu PSPN 2026-2030?

Untuk rekod PSPN 2026–2030 ialah dokumen strategik lima tahun Kementerian Pertahanan yang menterjemahkan hala tuju dasar pertahanan negara kepada pelaksanaan yang lebih tersusun, bersepadu dan berpaksikan hasil.

PSPN memberi tumpuan kepada perancangan menyeluruh pertahanan negara, merangkumi kesiapsiagaan ATM, pembangunan kapasiti pertahanan, kesejahteraan warga kerja pertahanan, kerjasama awam-tentera, teknologi dan industri pertahanan, diplomasi pertahanan serta kesejahteraan Veteran ATM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman melawat ruang pameran selepas hadir ke Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) di Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

Apa itu RTKP 2026–2030?

Manakala, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026–2030 ialah dokumen sokongan kepada Kertas Putih Pertahanan yang memberi fokus khusus kepada pembangunan kapasiti pertahanan dari aspek sumber manusia.

RTKP menekankan pembangunan warga pertahanan yang kompeten, patriotik, berkemahiran tinggi dan berdaya tahan, meliputi Angkatan Tetap ATM, Angkatan Sukarela, Veteran ATM, kakitangan awam sektor pertahanan serta rakyat dalam kerangka Pertahanan Menyeluruh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memperkatakan sesuatu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman ketika hadir ke Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) di Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

Fokus perumahan, kesihatan dan kos sara hidup

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kerajaan akan memperkukuh pelbagai inisiatif kebajikan anggota ATM sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan PSPN.

Dalam aspek perumahan, katanya, kementerian akan membina enam projek baharu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) selain melaksanakan kerja penyenggaraan membabitkan 20,000 unit RKAT sedia ada di seluruh negara.

Beliau berkata, aspek kesihatan turut diberi perhatian melalui pembinaan dua poliklinik ATM baharu serta usaha berterusan menaik taraf hospital-hospital angkatan tentera.

Bagi membantu warga ATM berdepan peningkatan kos sara hidup, kementerian meneruskan pelaksanaan Program Ekonomi MADANI ATM serta Program Jualan Istimewa MADANI ATM (JIMAT).

Katanya, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga anggota dan komuniti ATM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan sidang media ketika hadir ke Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) di Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

Peluang kerjaya kedua untuk veteran

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pemerkasaan kesejahteraan veteran ATM tidak boleh dilihat sebagai bantuan kebajikan semata-mata, sebaliknya manifestasi penghargaan negara terhadap sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.

Beliau berkata, antara langkah intervensi yang sedang dilaksanakan ialah penyediaan lebih banyak peluang kerjaya kedua bagi veteran ATM selepas tamat perkhidmatan.

“Inisiatif itu termasuk pelaksanaan Program Work-Based Learning (WBL), pengukuhan peranan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), selain pelaksanaan program reskilling dan upskilling.

“Kementerian juga akan memperkenalkan Program PROWIRA Ready To Work Veteran bagi meningkatkan kebolehpasaran veteran ATM,” katanya.

Beliau berkata, semua inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dan bersepadu selaras dengan tempoh pelaksanaan PSPN 2026-2030 bagi memastikan kebajikan anggota serta veteran ATM terus diperkasakan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: SPR keluarkan 24,677 kertas undi pos

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos. Setiausaha...

More Articles Like This