sarawak
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Pengumuman itu dibuat beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di Kuching hari ini.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Januari sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.

Setelah darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022

Darurat ini ditarik balik pada 3 November lalu, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Baca: PRN Sarawak dijangka tengah Dis atau lebih awal – Naib Presiden PBB

Darurat Sarawak ditamatkan, sukar tapi diperkenan untuk keperluan demokrasi

Sementara itu, Abdul Ghani memaklumkan 1.25 juta pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN ini.

Katanya, mereka terdiri daripada 1.22 juta pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata seramai 46,565 orang petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN itu.

Sebanyak 1,866 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan. 

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 buah dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram