Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) memenangi dua pertiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu wajar dijadikan sandaran bagi meletakkan 30 peratus wakil wanita.

Sandaran meletakkan 30 peratus wakil wanita itu adalah sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi memastikan kemenangan BN yang lebih besar.

Gesaan itu dinyatakan Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Menurut Norshida, ia berdasarkan keputusan PRN Melaka yang menyaksikan empat daripada lima calon BN berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi masing-masing.

Sebagai contoh, kata beliau, keupayaan Datuk Kalsom Noordin merampas kerusi DUN Pengkalan Batu disandang Datuk Norhizam Hassan Baktee nyata memberikan mesej jelas bahawa wanita mampu memenangi hati rakyat.

“Keyakinan pucuk pimpinan kepada wanita BN pada PRN Melaka telah terbukti dengan empat daripada lima calon BN berjaya memenangi persaingan merebut kerusi DUN.

“Justeru, Wanita UMNO menyeru kepada pucuk pimpinan agar keputusan PRN Melaka dijadikan sandaran dan langkah meletakkan 30 peratus wakil wanita sebagai calon PRU-15 demi memastikan kemenangan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai empat daripada lima calon wanita yang dipertaruhkan BN dalam PRN Melaka berjaya memenangi kerusi masing-masing, Sabtu lalu.

Baca artikel berkaitan: Keputusan PRN Melaka: Pengajaran kepada parti-parti Melayu dalam PRU-15?

Keempat-empat calon wanita itu merupakan calon UMNO.

Kalsom berjaya memenangi kerusi DUN Pengkalan Batu dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 131 undi mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Muhamad Danish Zainudin.

Tiga lagi calon wanita yang memenangi kerusi masing-masing adalah Datuk Khaidirah Abu Zahar yang menawan kerusi DUN Rim dengan majoriti 1,327 undi manakala Siti Faizah Abdul Azis pula menang dengan majoriti 1,137 di DUN Sungai Rambai.

Siti Faizah menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Jefri Safry; calon PH yang juga calon termuda PRN Melaka, Farzana Hayani Nasir dan calon Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Nazatul Asyraf Md. Dom.

Seorang lagi calon wanita BN adalah Tuminah Kadi yang menang dengan majoriti 827 undi kepada calon PN, Mohamad Ridzwan Mustafa dan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Nor Azman Hassan dari PH.

Hanya seorang calon wanita BN yang tewas dalam PRN Melaka iaitu Leong Hui Ying di DUN Kesidang.

Hui Ying tewas kepada Allex Seah Shoo Chin dari PH dengan majoriti 10,237 undi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram