Jika dilihat dari luaran, sebuah perkampungan yang terletak di Kerala, India ini nampak biasa seperti kampung-kampung lain. Namun, ada sesuatu yang unik di kampung ini, yang membingungkan para saintis sehingga sekarang.

Kampung Kodinhi dalam daerah Malappuram ini dikenali sebagai kampung yang mempunyai kadar kelahiran anak kembar paling tinggi di India, bahkan di Asia.

Ramai saintis yang telah mengkaji fenomena kelahiran kembar di kampung ini, masih gagal mendapat jawapan tepat bagaimana fenomena itu boleh berlaku.

Kampung Kodinhi mempunyai kelahiran kembar tertingggi di India.

Pada awalnya, kampung ini biasa saja. Dikatakan fenomena kelahiran kembar ini bermula sekitar hampir 80 tahun yang lalu dan ia terus berlanjutan sehingga kini.

Kembar pertama lahir di kampung ini pada tahun 1949. Dan sejak itu, kelahiran kembar terus meningkat di kampung ini yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Apa yang uniknya, kelahiran kembar di kampung ini hanya untuk kembar dua seiras sahaja. Majoriti kelahiran kembar yang berlaku adalah sama jantina. Jika ada berlainan jantina pun, ia masih dalam kategori kembar seiras.

Kembar yang lahir di kampung ini hanya kembar dua dan seiras.

Boleh dikatakan pasangan kembar seiras boleh dilihat di sebahagian besar perkampungan ini. Bahkan, di sekolah rendah Kondihi sahaja terdapat berpuluh-puluh murid yang terdiri daripada pasangan kembar.

Fenomena populasi aneh itu telah menyebabkan kampung ini digelar sebagai ‘kampung kembar’. Sewaktu pakar perubatan masih mencari jawapan mengenai fenomena unik ini, penduduk kampung itu terus mengalami peningkatan populasi berganda kerana kadar kelahiran anak kembar yang luar biasa.

Saintis juga bingung untuk mencari jawapan di sebalik kelahiran kembar di kampung ini.

Tiada jawapan tepat ditemui bagaimana fenomena kelahiran kembar ini boleh berlaku di sebuah lokasi terpencil yang jauh ketinggalan dari segi perubatan moden.

Menurut pakar perubatan tempatan dan pengkaji populasi kembar, Dr. Krishnan Sribiju, kadar kelahiran anak kembar di Kondihi adalah enam kali ganda lebih tinggi berbanding kadar populasi kembar di seluruh dunia.

Dianggarkan lebih 400 pasangan kembar dilahirkan dari kalangan 2000 keluarga yang menetap di kampung itu. Malah, populasi itu dijangka akan terus meningkat saban tahun.

Secara purata, daripada 1,000 bayi yang dilahirkan di seluruh dunia, empat darinya adalah kembar. Tetapi nisbah ini jauh berbeza di kampung ini di mana daripada 1,000 kelahiran, 45 daripadanya adalah kembar.

Kampung Kodinhi berada pada kedudukan kedua di dunia yang mempunyai kelahiran kembar tertinggi, selepas bandar Igbo-ora di Nigeria yang mencatatkan kelahiran kembar paling tinggi di dunia dengan 145 kembar daripada 1,000 kelahiran.

Igbo-Ora di Nigeria tercatat sebagai kawasan yang mempunyai kelahiran kembar tertinggi di dunia.

Menurut Dr. Krishnan yang melakukan kajian di kampung Kodinhi, walaupun terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang wanita melahirkan bayi kembar, tetapi dalam kes di Kondihi, ia adalah sesuatu yang unik.

Walaupun telah melakukan banyak kajian dan analisis biokimia, tetapi Dr. Krishnan masih belum mampu memberi jawapan tepat mengenai fenomena ini. Bagaimanapun, beliau yakin perkara tersebut berlaku disebabkan oleh faktor pemakanan, dan bukan disebabkan faktor genetik.

Dalam masa yang sama, beliau juga menolak kemungkinan fenomena kembar di Kondihi dipengaruhi oleh pencemaran kerana tahap kesihatan pasangan kembar di situ adalah sempurna.

Kembar kampung Kodinhi.

Wanita yang melahirkan bayi kembar di kampung ini juga asalnya bukanlah datang daripada keluarga yang mempunyai kembar, atau mempunyai sebarang kecacatan fizikal dan tidak menghidap sebarang penyakit keturunan.

Bukan hanya pakar biologi tempatan, pakar dari luar negara turun mengambil banyak sampel daripada pasangan kembar di kampung ini seperti air liur dan rambut untuk mengkaji fenomena ini. Pun sama, mereka tidak menemui jawapan yang tepat bagaimana kelahiran kembar begitu tinggi di kampung ini.

Manakala bagi penduduk setempat pula, mereka percaya fenomena ini merupakan satu anugerah dan keistimewaan yang diberi Tuhan kepada mereka untuk melahirkan ramai anak kembar.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare