PADA 1 Disember 1948, mayat seorang lelaki lengkap memakai sut dan bertali leher dijumpai tersandar pada batu di pesisir pantai Somerton, Adelaide, Australia.

Semasa ditemui terdapat kesan pendarahan teruk pada bahagian belakang kepalaya. Anehnya, semua label pada pakaian mangsa telah dikoyakkan. Lebih merumitkan, tiada sebarang tanda pengenalan diri ditemui. Apa yang ditemui pada mayat itu hanyalah sekotak rokok, gula-gula getah dan sedikit wang.

Mayat lelaki memakai sut ditemui di pesisir pantai Somerton.

Berdasarkan siasatan awal polis, kemungkinan mangsa mati akibat dibunuh. Tambahan pula ada sisa putung rokok di sisi mangsa. Namun tidak lama kemudian, penemuan mayat ini menjadi semakin menarik sehingga menggemparkan Australia.

Siasatan polis dan ujian DNA yang dijalankan gagal mengesan identiti lelaki di sebalik sut tersebut. Pelbagai persoalan mula timbul. Siapa namanya? Bagaimana lelaki itu boleh mati di situ?

Hasil bedah siasat mendapati saluran darah dan otak mangsa seperti tersumbat. Limpa mangsa juga disyaki gagal berfungsi. Petunjuk ini menandakan kemungkinan mangsa mati kerana racun.

Namun, penemuan itu membuat pihak penyiasat semakin buntu. Jika benar mangsa diracun hingga mati, kenapa doktor tidak menemui racun dalam perut mahupun badan mangsa?

Identiti mayat yang ditemui gagal dikenal pasti.

Tidak lama kemudian, pihak polis tampil dengan beberapa kemungkinan identiti mangsa.  Tapi tidak bertahan lama apabila kemungkinan itu ternyata salah.

Ada suatu ketika, pihak polis menyangka mangsa adalah E.C Johnson. Namun, mereka dikejutkan dengan kehadiran E.C Johnson beberapa hari kemudian bagi mengesahkan dia masih hidup.

Menjelang pertengahan Januari 1949, kes kematian lelaki bersut ini semakin dingin. Tiada petunjuk baru yang boleh membantu siasatan pihak polis.

Kemudian, polis menemui sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di stesen kereta api. Dilaporkan, beg itu dijumpai pada hari yang sama dengan mayat lelaki misteri itu ditemui. 

Lebih menarik, sama seperti tanda-tanda yang dijumpai pada mangsa, semua label pakaian dalam beg itu telah dikoyakkan. Yang kekal, hanya sehelai kemeja mempunyai tanda nama di bahagian kolar baju, dieja dengan ‘T.Keane’. 

Kebetulan pada masa sama seorang pelayar dengan nama Thomas Keane dilaporkan hilang. Pihak polis mengesyaki lelaki dalam siasatan mereka itu kemungkinan adalah Thomas Keane. Namun, rakan Thomas Keane menafikan mayat tersebut adalah rakan mereka. Sekali lagi, pihak penyiasat semakin buntu dan kes ini semakin menyepi.

Sehelai kemeja dengan label T.Keane yang ditemui.

Pada musim panas tahun yang sama, pegawai penyiasat menjumpai satu poket rahsia dalam seluar si mati. Dalam poket itu terdapat satu cebisan kertas yang bertulis ‘Tamam Shud’  yang membawa maksud ‘pengakhiran’ dalam bahasa Parsi. 

Pegawai dari perpustakaan mengesahkan cebisan kertas itu datangnya daripada sebuah buku puisi berjudul The Rubaiyat yang ditulis oleh Omar Khayyam.

Siasatan membawa kepada penemuan salinan buku tersebut dalam sebuah kereta yang tidak berkunci. Pihak polis berharap buku ini akan menjadi penunjuk utama buat mereka.

Buku The Rubaiyat.

Di muka hadapan buku tersebut terdapat salinan nombor telefon yang mengarahkan siasatan kepada seorang jururawat pula. Jururawat yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan mempunyai seorang anak itu dipanggil untuk membantu siasatan.

Jururawat wanita ini bersetuju memberi kerjasama tetapi dengan satu syarat. Pihak berkuasa tidak boleh mendedahkan identitinya selain mengaitkannya dengan kes pembunuhan.  Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi pihak berkuasa bersetuju dengan permintaan jururawat tersebut.

Hasil siasatan, jururawat itu mengaku, empat tahun sebelum kejadian kematian misteri tersebut, dia ada menghadiahkan senaskhah buku The Rubaiyat kepada seorang lelaki dengan nama Albert Boxall.

Dari situ, pihak polis yakin identiti lelaki tersebut adalah Albert. Tapi, sekali lagi siasatan ini menemui jalan buntu. Albert Boxall belum mati. Lelaki itu telah datang ke balai polis beberapa hari kemudian untuk mengesahkan dia masih hidup.

Sebagai bukti, Albert Boxall membawa bersamanya buku yang dihadiahkan oleh jururawat dengan perkataan ‘Tamam Shud’ masih lagi jelas di dalamnya.

Siapa sebenarnya identiti lelaki ini?

SEJAK itu, kes pembunuhan lelaki ‘Tamam Shud’ dilabel sebagai kes pembunuhan misteri yang sempurna. Bukti-bukti yang ada masih gagal menjelaskan identiti seterusnya menyelesaikan kes kematian lelaki ini.

Pihak penyiasat juga masih gagal memutuskan sama ada mangsa mati dibunuh dengan diracun atau mangsa sebenarnya mati membunuh diri. Sehingga hari ini, persoalan itu terus menjadi tanda tanya.

Siapa sebenarnya lelaki ‘Tamam Shud’ ini? Adakah dia mati dibunuh atau membunuh diri? Sehingga kini, persoalan itu terus menjadi tanda tanya.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare