NAMA penyanyi Hafiz Suip tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia sudah lama bertapak dalam industri muzik tanah air.
Juara Akademi Fantasia musim ketujuh ini terus meningkat naik selepas keluar dari program itu dengan lagu-lagu dan album yang laris terjual di pasaran. Malah, rezekinya bertambah apabila dipertemukan jodoh dan dikurniakan dua cahaya mata.
Bagi mengakhiri 2021, setelah pelbagai rintangan sepanjang PKP selama dua tahun ini akhirnya Hafiz dengan kerjasama Alternate Records & Talents berjaya melahirkan sebuah single bertajuk Takluk Cinta.
Takluk Cinta ini merupakan runut bunyi sebuah drama di TV3, Saat Kau Takluk Cinta Ini. Lagu ini ditulis oleh Ikhwan Fatanna bersama Iqie Hugh dan liriknya juga ditulis oleh mereka berdua.
Sememangnya lagu ini diciptakan khas buat Hafiz yang terkenal dengan lontaran suaranya yang lunak hingga menjadikan semua lagu nyanyiannya mudah diterima oleh orang ramai.
”Saya berasa sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk berkolaborasi bersama Alternate Records & Talents dalam menyanyikan lagu ini.
“Sebenarnya sudah sekian lama saya mencari lagu yang bersesuaian dan akhirnya bila ditawarkan untuk menyanyikan lagu OST ini, saya terus bersetuju kerana demo yang diberikan amatlah sesuai dengan genre yang dibawakan selama ini.
“Proses rakaman tidaklah begitu sukar seperti ketika di zaman PKP yang lalu. Jujur saya katakan sebenarnya tidak mudah juga untuk bersaing dengan penyanyi baharu yang sedia ada lebih-lebih lagi ketika ini zaman sosial media seperti TikTok dan lain lagi.
“Tapi saya yakin dengan bakat yang ada ini InsyAllah dapat bersaing dengan mereka. Saya benar-benar bersyukur dan berharap agar lagu kali ini dapat menghiburkan semua orang dan diterima ramai,” ujarnya.
Untuk info, drama Saat Kau Takluk Cinta Ini yang disiarkan menerusi slot Samarinda bermula 20 Disember, Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

