SELEPAS mencetuskan tanda tanya mengenai status hatinya, penyanyi , Hafiz Suip akhirnya menamatkan teka-teki tersebut dengan mengesahkan dia kini telah sah bergelar suami kepada pilihan hatinya, Fiona Safiyya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran itu telah diadakan pada 13 Februari lalu di bandar kelahiran mereka, Kuching, Sarawak.
Tampil menjelaskan spekulasi mengenai majlis yang diadakan secara tertutup dan mengejut, pelantun lagu Awan Nano itu menegaskan bahawa dia sama sekali tidak berniat untuk menyembunyikan berita gembira tersebut daripada pengetahuan peminat.
Menurut Hafiz, dia sekadar mahu memberikan ruang kepada keluarga terdekat untuk menikmati momen bermakna itu terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada khalayak ramai.
“Saya faham ada yang terkejut sebab pengumuman ini dibuat pada saat-saat akhir.
“Hakikatnya, perkahwinan memang satu perkara yang baik untuk dikhabarkan kepada semua.
“Namun bagi saya, ada detik-detik tertentu yang lebih manis jika kita simpan untuk tatapan peribadi terlebih dahulu.
“Saya rasa lebih tenang untuk berkongsi segalanya tepat pada hari kejadian,”katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Yang Engkau Mahu di Hotel St. Giles Boulevard, semalam.

Bercerita lanjut mengenai detik awal perkenalan mereka, bapa kepada dua cahaya mata itu mendedahkan segalanya bermula secara tidak sengaja pada 2024.
Ketika itu, Hafiz sedang buntu mencari penyanyi wanita untuk menggantikan rakan duetnya, Adira Suhaimi bagi konsert solo di Kuching.
Takdir tuhan mengatasi segalanya apabila dia singgah di sebuah restoran dan terdengar suara seorang wanita sedang mendendangkan lagunya sendiri, Ku Akui.
“Suaranya memang sangat memukau sehingga saya terhenti sejenak.
“Selepas bertanya kepada pemilik restoran, barulah saya tahu wanita itu sebenarnya adalah Fiona yang rupa-rupanya sudah lama bergiat aktif dalam bidang nyanyian, malah lebih senior daripada saya.

“Dari situ, saya menjemputnya untuk menyanyi di konsert saya dan bermulalah bibit perkenalan kami,”tambahnya lagi.
Meskipun diselubungi kegembiraan, terselit rasa hiba dalam hati Hafiz apabila mengenangkan arwah ibunya yang tidak sempat melihat hari bahagianya itu.
Jelas Hafiz, arwah ibunya adalah individu yang paling menyokong hubungan mereka dan telah merancang pelbagai perkara untuk majlis tersebut.
Asalnya, majlis dirancang untuk diadakan pada 15 Februari bersempena hari lahir arwah ibunya, namun mereka memutuskan untuk mempercepatkan majlis kepada 13 Februari.
Menyentuh mengenai keperibadian Fiona, Hafiz menyifatkan isterinya itu sebagai seorang wanita yang sangat prihatin dan bijak menguruskan keperluan dirinya.
Paling utama, kehadiran Fiona diterima dengan tangan terbuka oleh anak-anak Hafiz, Muhammad Riyadh Zafri dan Muhammad Alkaf Zayne.
Fiona yang juga merupakan seorang ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata kini melengkapkan lagi fasa baharu kehidupan Hafiz Suip sebagai seorang suami dan bapa kepada keluarga besar mereka.
Untuk rekod, Hafiz sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Nureffy Jasreel pada 2016 sebelum sah bercerai pada Mei tahun lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri dan Muhammad Alkaf Zayne.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

