MESKIPUN memiliki karakter gila-gila, namun anak kelahiran Melaka iaitu Yasser Atakk masih memilih irama tradisional Melayu sebagai genre pilihan.

Yasser atau nama lengkapnya Yasser Fikri Abu tampil dengan single Senandung Anak Melaka hasil ciptaan Fauzi Mohammad dan lirik oleh Siso Kopratasa.

Siso memilih tema pelancongan untuk menghiasi melodi lagu selain mempromosikan Melaka sebagai kota pelancongan di Malaysia.

“Bila saya terima lagu ini saya merasakan ianya cabaran buat saya kerana belum ada rekod nyanyian vokal.

“Setelah saya berbincang semula dengan komposer, mereka menyuruh saya menyanyi dengan cara tersendiri ketika memandu kereta.

“Alhamdulillah ia berhasil sehingga lagu ini direkodkan. Apa pun yang terjadi, saya perlu cuba yang terbaik. Dalam masa yang sama, lagu ni kita nak bagi semua orang dengar mestilah berkualiti kerana tidak ramai yang mengetahui secara meluas genre lagu tradisional ini,” kaa Yasser kepada URTV.

Tagline lirik Senandung Anak Melaka dikatakan sebagai Kota Pelancongan Negeri Selat serta merupakan cubaan Siso untuk mengimbau kembali kegemilangan Melaka satu ketika dahulu sebagai Vanice Timur yang dikagumi pedagang barat.

Yasser turut berkebolehan menulis lirik selain sering menghasilkan video parodi lagu sekaligus menjadikan dia cukup dikenali peminat seni yang selalu melayari YouTube.

“Saya ingin berterima kasih kepada abang Fauzi sebab dapat mencipta melodi lagu yang bagi saya memang sangat sedap didengari dan mudah untuk pendengar ingat.

“Saya harap selepas ini banyak lagi lagu hebat sebegini akan abang Fauzi hasilkan.Insya-Allah, semoga dia akan lebih dikenali sama seperti arwah Pak Ngah Suhaimi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fauzi menjadikan Allahyarham Pak Ngah dan S. Atan sebagai idola serta inspirasi dalam menghasilkan karya yang berteraskan irama Melayu tradisional.

“Idea dan inspirasi ini tercetus dalam Senandung Anak Melaka selepas selesai merakamkan lagu tema untuk sebuah pementasan teater di Melaka,” kongsinya.

Bagi Siso pula, dia berharap karya yang dihasilkan Fauzi dan dinyanyikan Yasser itu bakal menjadi sebuah lagu yang mampu menarik pelancong untuk datang ke Melaka.

“Kota Pelancongan Negeri Selat bukan satu angan-angan kosong, tapi kenyataan yang mesti diakui semua anak Melaka dan warga Malaysia,” ungkapnya.

Sebagai tanda pengenalan lagu ini kepada masyarakat dan buat orang Melaka khususnya, pihak produksi menghasilkan muzik video Senandung Anak Melaka yang menjalani penggambaran di bandar raya Melaka.

Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan digital di platform streaming, YouTube dan iTunes.