BARU-baru ini, penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin menerima pelbagai bentuk kejutan daripada keluarga dan rakan-rakannya sempena ulang tahun kelahiran yang ke-57 pada 3 Januari lalu.
Aishah berkongsi momen indah itu menerusi laman Instagramnya dengan memuat naik beberapa gambar dan meluahakn rasa terharu apabila turut menerima seutas gelang tangan Pandora yang diberikan oleh anaknya.
“Saya tidak pernah merasa seumur hidup sebagai seorang isteri yang dimanjakan dengan hadiah. Seumur hidup, saya adalah isteri yang membeli beras.
“Allah kurniakan anak-anak yang memahami. Hadiah hari lahir yang diberikan oleh Armand, buat mata mama masuk habuk.
“Tiga tahun lepas kelab peminat belikan Pandora yang ‘rose gold’. Pada kali ini, dapat yang perak untuk pakaian kasual pula. Saya sangat bersyukur,” luahnya.
Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati, rata-rata netizen sebak dengan luahan hati Aishah yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata ini dan menganggap dia seorang wanita yang tabah.
“Anda seorang wanita yang kuat dan hebat, maka Allah duga dengan semampu kita. Moga ada pelangi tiba, terus kuat, cantik dan sihat,” kata @Hidawatiamin.
“Kak Aishah wanita yang tabah dan istimewa,” ujar @Zunitazamberi.
“Alahai manisnya Abang Long, besarnya hati seorang ibu. Semoga Allah memberkati dan merahmati adik sekeluarga, Insha-Allah,” doa @Maznahsnowy.
Terdahulu, Aishah mendedahkan dia dan suaminya sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu namun, talak masih belum dilafazkan.
Aishah mempunyai dua cahaya mata dimana hasil perkahwinannya yang pertama, dia dikurniakan Armand Azhari, 29 dan perkahwinan kedua pula dia memiliki anak bernama Azhad Ahlami, 24.

