PENGACARA dan pelakon, Sherry Alhadad, 37, mendedahkan dia hanya melakukan aktiviti senaman dan menjaga pemakanan untuk menurunkan berat badan.
Menurut Sherry, dia sering memuat naik di Instagram mengenai rutin hariannya dalam usaha untuk mendapatkan berat badan ideal dan berjaya menurunkan berat badan dalam masa tiga bulan.
“Alhamdulilah, saya berjaya kurangkan berat badan sebanyak 16 hingga 18 kilogram dalam tempoh tiga bulan. Pengikut dan orang ramai boleh melihat sendiri rutin senaman yang saya kongsikan di Instagram.
“Kadang-kadang bimbang orang akan kata saya riak pula bila dapat turun berat badan. Saya hanya berharap yang perkongsian saya ini dapat membakar semangat mereka berbadan besar untuk kekal sihat,” katanya.
Tambah pengacara Big Stage 2020 itu lagi, dia berpendapat melakukan pembedahan bariatrik bukanlah pilihannya demi mendapatkan bentuk badan yang diidamkan.
Bahkan, terdapat pelbagai kaedah secara semula jadi yang boleh digunakan.
“Buat masa ini saya belum terfikir untuk melalui pembedahan bariatrik atau potong usus sebagai jalan mudah untuk menurunkan berat badan. Namun sebaliknya, saya lebih percaya dengan proses yang sepatutnya untuk turunkan berat badan.
“Saya percaya Allah memberikan kita usus panjang itu bersebab, jadi buat masa ini saya menggunakan alternatif lain. Mungkin itu adalah pilihan terakhir saya kerana belum terfikir lagi,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon kelahiran Sarawak itu menjelaskan, bukan niatnya untuk mengkritik mana-mana pihak yang menggunakan jalan pintas dengan memotong usus sebagai cara untuk cepat kurus.
“Begitupun, ia tidak bermakna saya menghakimi atau mengata mana-mana pihak. Ia hanyalah sekadar pandangan peribadi untuk digunakan pada tubuh sendiri,” jelasnya.

