KALAU sebut sahaja slogan Terlajak Laris, siapa sahaja yang tidak kenal dengan figura usahawan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri?
Selepas hampir dua dekad mendominasi empayar kecantikan dan kesihatan, D’Herbs Holdings kini tampil membuktikan mereka masih berada dalam kelas tersendiri!
Semalam menjadi saksi sejarah apabila Wisma D’Herbs yang terletak di Persiaran Prestij, Kota Damansara, Petaling Jaya, secara rasminya memperkenalkan wajah baharu yang lebih moden, eksklusif, dan cukup estetik.

Bukan biasa-biasa ya, transformasi kali ini memang betul-betul memberikan keselesaan tahap hotel lima bintang buat para pelanggan setianya!
Lupakan ruang jualan yang biasa-biasa. Kini, Wisma D’Herbs diolah dengan konsep butik yang luas dan tersusun rapi. Masuk sahaja ke dalam, anda akan rasa seperti berada di sebuah ekspo mini yang kondusif.
Nak cuba produk? Silakan! Semuanya disediakan untuk memastikan pelanggan mendapat pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan.
Bukan itu sahaja, kemudahan yang disediakan juga memang mesra keluarga. Ada ruang solat yang selesa, kafe mini untuk melepas lelah, malah bouncing castle dan ruang permainan kanak-kanak pun ada!
Sambil ibu-ibu cuci mata cari jamu dan kosmetik, anak-anak pun tak bosan.
Majlis pelancaran yang berlangsung semalam bermula dari pagi hingga ke malam itu bertambah seri dengan kehadiran barisan selebriti popular.
Duta koleksi beg AS yang jelita, Izara Aishah dan Sally Whoo hadir mempesonakan tetamu, selain persembahan bertenaga daripada ratu dangdut, Amelina serta keletah mencuit hati pengacara tersohor, Sherry Alhadad.

Menurut Aliff, pembaharuan ini adalah tanda terima kasih yang tidak terhingga buat para stokis dan pelanggan yang menyokongnya sejak 20 tahun lalu.
“Kita mahu D’Herbs kekal relevan. Bukan sekadar jual produk, tapi kita nak beri pengalaman.
“Ini hadiah saya untuk anda semua yang menyokong dari zaman awal D’Herbs dulu,” katanya.
Kemuncak acara yang paling ditunggu-tunggu sudah pastinya sesi cabutan bertuah.
Bayangkan, dengan hanya membeli koleksi beg AS, seorang pelanggan bertuah berjaya membawa pulang sebuah kereta Perodua Bezza!
Sesi penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Izara Aishah pada jam 8 malam.
Selain kereta, ramai juga yang tidak pulang tangan kosong dengan adanya sesi lucky wheel, jualan lelong harga runtuh, dan 100 goodies bag misteri buat pembeli terawal.
Memang meriah habis! Bagi anda yang belum sempat melihat sendiri transformasi ‘Wisma Terlajak Laris’ ini, bolehlah singgah ke Kota Damansara. Mana tahu, lepas ni giliran anda pula yang ‘terlajak’ cantik dan sihat!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

