SEORANG suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya yang ditemui maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam pada 23 Januari lepas.
Lau Seck Yan, 55, yang merupakan bekas calon Bebas pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson 2018, didakwa membunuh Poh Seng Hiap, bekas akauntan sebuah syarikat swasta di rumah mereka di Jalan TK 6/2 Rasa Kemayan Golf & Country Township, antara 3.30 petang hingga 4.30 petang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Norzaliza Tesmin kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
“Saya tidak sanggup didakwa di bawah seksyen tersebut, kebenaran bukan begitu…tidak harus dituduh di bawah akta tersebut,” kata Lau.
Norzaliza memberitahu tertuduh bahawa dia perlu berbincang dengan peguam yang dilantik sekiranya terdapat perkara yang ingin dimaklumkan kepada mahkamah.
BERITA BERKAITAN Kejam! Isteri Sanggup Bunuh Suami Depan Anak. Boleh Jadi Puncanya Disebabkan Tekanan
Peguam Ng Kian Nam yang mewakili Lau memohon supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin dan turut memaklumkan kes itu berkaitan hal keluarga.
Beliau juga memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital untuk menjalani rawatan psikiatri.
Mahkamah tidak membenarkan wanita itu dilepaskan dengan ikat jamin dan turut menolak permohonan peguam untuk merujuk tertuduh ke hospital atas alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian pada waktu ini serta menetapkan 25 Feb untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, pekarangan mahkamah kecoh dengan jeritan tertuduh ke arah wartawan ketika dia diiringi oleh anggota polis pada 9.30 pagi.
Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam dua kali di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam oleh isterinya.
Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian. – BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

