tekanan perasaan punca bunuh suami
Sekadar gambar hiasan

Allahu Akbar! Sedih rasanya membaca berita tentang seorang isteri yang sanggup menikam suaminya di bahagian dada dan pinggang sehingga mangsa meninggal dunia di depan dua anak mereka. Kejadian berlaku di rumah pasangan tersebut yang mana mangsa dan suspek masing-masing telah pun mencapai usia 55 tahun.

Manakala anak mereka yang menyaksikan kejadian tersebut dianggarkan berumur 18 tahun. Bermakna mereka berdua telah lama hidup bersama namun berakhir dengan sengsara. Motif kejadikan dikatakan berpunca daripada masalah kewangan.

Kes seperti ini hanyalah satu dari sekian banyak lagi kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini akibat dari tekanan perasaan.

Tekanan perasaan! Nampak seperti tidak ada apa-apa, akan tetapi sebenarnya ia lebih berbahaya dari bom jangka. Manusia boleh hilang akal kerananya, lupa halal haram, dosa pahala sehingga hilang pertimbangan tanggungjawab dan amanah. Malah mereka juga tidak mampu membezakan antara sifat kesayangan mahu pun kebencian.

Dalam kalangan masyarakat pada hari ini, berapa ramai yang menghadapi tekanan perasaan? Puncanya disebabkan banyak perkara termasuk masalah kewangan dan rumahtangga. Hal inilah yang menyebabkan sering berlaku pelbagai kes seperti bunuh diri, bunuh ahli keluarga, dan kemurungan yang memakan diri.

Menurut Mohamed Anuar Yusof, Pengasas Smart Consultan & Motivation yang mahir dalam mengendalikan kes kaunseling, katanya perkara itu bukan hal remeh, tetapi perlu dititik berat oleh masyarakat sekeliling kerana ia akan memberi kesan yang buruk kepada individu terbabit dalam kehidupan.

Apabila membicarakan berkaitan tekanan! semua orang mengalaminya tanpa disedari.

Pasti kita pernah mendengar keluhan kawan atau orang sekeliling,

“Adoiii… stresss la aku dengan bos kita ni” “mahunya tak stress kalau macam ni gayanya” “stres sungguh aku dengan anak aku tu, asyik merengek je malam-malam, nak tido pun tak tenang” “serabut la makcik kantin ni, asyik jual benda yang sama saje, dah la mahal. Stres la!”.

Keluhan seperti itu seakan hiburan yang menjadi mainan di bibir. Setiap masa boleh dikatakan orang sekeliling kita mengungkap perkataan seumpama itu. Tidak kira apa isunya, tetapi yang penting, tekanan itu mesti ada.

Perhatikan 3 Perkara Ini

Bagi memudahkan untuk difahami, Mohamed Anuar memberi tafsiran yang mudah mengenai tekanan iaitu proses tindak balas fizikal, mental dan emosi yang mengganggu ketenangan. Bagi menentukan sama ada seseorang itu sedang tertekan ataupun tidak, tiga perkara tersebut harus diperhatikan.

Jika pada fizikalnya kita dapat lihat kecelaruan, dari mental nampak tidak tenteram dan dari segi emosi seakan sangat sensitif dengan segala perkara, maka jelas bahawa individu itu sedang mengalami tekanan.

Sebenarnya ramai yang tidak menyangka bahawa dirinya sedang menghadapi tekanan atau orang sekitarnya sedang mengalami tekanan sama ada masih baru atau sudah mencapai tahap bahaya.

Tekanan yang dihadapi tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh membawa maut dan juga tahap kewarasan dalam diri juga tidak dapat berfungsi dengan baik apabila tekanan menguasai. Tekanan tidak mungkin berlaku sekelip mata, tetapi ia melalui proses yang memakan masa bertahun-tahun.

Tekanan merupakan fitrah dalam kehidupan manusia. Allah menegaskan bahawa kehidupan manusia tidak sunyi daripada ujian, cabaran dan dugaan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ankabut: 2,

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?

Manakala dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Thabrani daripada Abu Umamah, telah disebut bahawa Allah berfirman kepada malaikatNya,

“Pergilah kepada hamba Ku. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya.”

Ujian-ujian inilah yang akan membentuk tekanan dalam diri manusia. Seorang Muslim yang cemerlang ialah mereka yang dapat mengawal tekanan yang dihadapi dengan baik. Oleh itu Mohamed Anuar yakin, hampir 90 peratus mereka yang mengalami tekanan sehingga tidak mampu membezakan mana dosa dan pahala itu adalah mereka yang sedang menjauh dengan agama Allah. Wallahu a’lam

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram