Kesibukan kerja tidak pernah akan habis, namun masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Setiap detik anak-anak membesar, tidak mungkin dapat diputar kembali walau dibayar dengan segunung emas.

Kisah seorang bapa yang bergelut untuk menamatkan pengajian peringkat Sarjana sehingga terlupa anaknya sedang membesar dan memerlukan perhatian cukup menyentap rasa.

Perkongsian Dr Redza Zainol bagaimana si bapa mengubah rutin dan mula ‘hadir’ dalam hidup si kecil rupa-rupanya memberi 1001 rahmat yang sukar dirungkaikan.

“Itu hari terserempak dengan kawan lama di Melaka. Tengah makan nasi dengan ayam rempah, dia datang dan tegur.

6 tahun dah tak jumpa, alih-alih jumpa di kedai makan.

Kami pun borak, sampai terlupa sebenarnya masing-masing bawa isteri makan sekali. Haha.

Dia pun cerita.

Rupa-rupanya, dia baru habis program Master dan sekarang kerja di Pahang.

“Aku 3 kali ambil final exam. Gila betul, memang beratus kali aku rasa nak berhenti separuh jalan.

Kau tahu apa yang buatkan aku akhirnya lulus ujian tahun akhir aku?”

Aku pun geleng kepala. Apa dia aku tanya dia.

“Setiap malam bila aku balik rumah, anak aku minta main dengan aku. Tapi bila aku sampai rumah, aku dah penat dan aku tak ada mood nak main.”

Aku cakap nanti kita main. Aku mandi, solat, makan dan lepas tu aku tak tengok pun anak aku tadi.

Sampailah dia tertidur sendiri.”

Itulah yang jadi setiap hari.

Sampai satu hari, kawan saya ni balik awal.

“Anak aku datang dan dia sambut aku di depan pintu. Menjerit-jerit gembira dia bila nampak aku. 

Papa, let’s fight. Papa, let’s fight.

Aku pun kata okay.

Selesai aku mandi dan tukar baju, aku cari dia. Aku pun main kejar-kejar dan bergusti dengan dia.

Sampai ke hari ni aku teringat lagi betapa gembira dia waktu tu. Senyum, gelak dan tersengih-sengih dia sepanjang malam.

Aku pun rasa lain hari tu. Rasa macam jadi seorang ayah. Aku rasa puas, rasa gembira.

Mulai dari hari tu, aku akan cuba balik awal dan main dengan anak aku.

Dia suka sangat bergusti, aku pun layan dia setiap malam.

Aku tarik kaki dia, acah-acah tumbuk dia, geletek dia sampaikan aku rasa jiran sebelah rumah pun boleh dengar kami gelak ketawa.

Ada hari aku jadi raksasa dan kejar dia satu rumah.”

Dia tahu isteri dia tengah perhatikan mereka berdua. Dia duduk, seronok agaknya tengok anak beranak bermain.

Terus saya teringat pada cerita isteri saya. Kanak-kanak umur 2 hingga 5 tahun sangat suka dengan Rough and Tumble Play.

Kanak-kanak ni akan bermain dengan cara bergusti, menepuk, mencucuk dan memukul orang dewasa dalam keadaan yang tak menyakitkan.

Dengan cara ni, anak tu akan tahu untuk meletakkan sempadan antara pukulan bahaya dan pukulan untuk bermain.

Anak juga dapat belajar tentang bahasa isyarat badan sama ada secara fizikal atau secara lisan.

Paling seronok, anak dan ibu ayah dapat rasa gembira bermain bersama.

Kawan saya sambung lagi.

“Yang aku pelik, tugasan aku semua boleh selesai walaupun aku banyak masa bermain dengan anak.

Apa yang aku belajar semuanya jadi lagi senang faham dan ingat.

Rupa-rupanya isteri aku kata, setiap hari dia ajarkan anak aku doa supaya aku lulus peperiksaan aku.

Macam ni dia doa. “Ya Allah, bagi papa dapat lulus ujian dia.” Doa tu pendek sebab anak pun kecil lagi.

Setiap harilah dia doakan aku.

Bila aku lulus ujian aku, aku terus balik dan peluk anak aku.

Aku minta maaf pada anak aku yang masih kecil ni sebab aku banyak ambil hak masa dia bermain dengan aku selama ni.”

Ya, kita semua sibuk bekerja. Mencari rezeki tak putus masa. Namun di sebalik kesibukan kita, ada anak kecil yang merindui wajah dan senyuman kita.

Sumber : Redza Zainol