Tidak disyaratkan satu nafas dalam lafaz nikah, namun mesti berturutan. Ini penjelasan satu nafas dalam akad

Dari Penulis

Akad nikah, satu detik yang cukup menggerunkan bagi pengantin lelaki. Skrip sudah dihafal, namun entah mengapa hati masih bergetar, lagi-lagi kata orang, semuanya kena disebutkan dalam satu nafas. Ah, sudah…nama bakal isteri pula berjela panjangnya.

Jangan risau wahai bakal pengantin, penjelasan daripada Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Maktabah Al Bakri menjawab persoalan ini.

Soalan :

Adakah mesti dengan satu nafas dalam akad pernikahan?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.[1]

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”[2]

Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.[3]

Dalam memenuhi tuntutan perkahwinan, seseorang itu tidak dapat lari dari memenuhi tuntuan syarak agar perkahwinannya itu sempurna. Justeru wajib bagi seseorang yang hendak berkahwin untuk mematuihi rukun dan syarat pernikahan supaya perkahwinannya itu menjadi sah. Dr Muhammad Zuhaili menyebut tidak sempurna akad nikah melainkan dengan terlaksana rukunnya dan melengkapi segala syarat bagi rukun tersebut. [4]

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji[5] menyebut rukun akad nikah mempunyai lima rukun iaitu:

Sighah

Pengantin perempuan

Pengantin lelaki

Wali

Dua orang saksi

Dr. Muhammad Zuhaili memperincikan lagi rukun akad nikah kepada enam iaitu Sighah (Ijab dan Qabul), al-A’qidan (Pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi.[6]

Sighah bermaksud lafaz atau perbuatan yang disampaikan oleh orang yang sedang akad (perjanjian) untuk menunjukkan kerelaannya. Para fuqaha berpendapat perkara yang terkandung di dalam sighah mestilah Ijab (lafaz penawaran) dan Qabul (lafaz penerimaan).[7]

Dr Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Mu’tamad [8] menyatakan lagi bahawa akad nikah tidak sah melainkan dengan Sighah akad nikah iaitu ijab dan qabul. Secara asalnya, Sighah hanya melibatkan dua pihak sahaja iaitu pengantin lelaki dan wali sahaja:

Ijab bermaksud lafaz penawaran daripada wali pengantin perempuan yang menyebut “aku kahwinkan kamu” atau “aku nikahkan kamu” dan seumpamanya.

Qabul bermaksud lafaz penerimaan daripada pengantin lelaki dengan menyebut “aku terima perkahwinannya” atau “aku terima nikahnya” atau “aku redha dengan menikahinya”.

Berdasarkan persoalan di atas, tidak disyaratkan satu nafas dalam menjawab lafaz nikah. Tetapi syarat yang sebenarnya ialah mesti berturutan berdasarkan mazhab al-Syafi’e.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Antara syarat lafaz nikah adalah dengan ijab oleh wali dan qabul oleh pengantin lelaki secara berturutan. Jika wali berkata: “Aku kahwinkan kamu dengan anak perempuanku,” dan selepas tempoh yang lama, pengantin lelaki menjawab: “Aku terima nikahnya,” maka aqad nikah itu tidak sah.

Hal ini adalah kerana pemisahan yang lama antara ijab dan qabul tersebut. Dalam tempoh yang lama ini, ada kemungkinan wali menarik lafaz ijabnya semula. Adapun diam yang sekejap antara ijab dan qabul, seperti bernafas atau bersin, tidaklah merosakkan aqad nikah tersebut. [9]

Namun begitu, mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali: Tidak mengapa berlaku pemisahan yang lama antara ijab dan qabul jika sekiranya masih dalam majlis dan tidak disibukkan dengan perkara yang lain.

Sebagai penutup, kami mengesyorkan kepada para imam atau jurunikah agar memudahkan proses lafaz nikah ini dan tidak memberatkannya apabila telah cukup syarat. Hal ini selepas diambil kira keadaan pangantin pada ketika itu mungkin dalam keadaan gugup, berdarah gemuruh dan sebagainya.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan syariat-Nya serta memudahkan kita dalam setiap urusan. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Wallahua`lam.”

Sumber : Maktabah Al Bakri


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hafazan Itqan 2026: Rekod 1,958 Peserta Bukti Anak Muda Makin Dekati Al-Quran

PENGANJURAN 18th Itqan National Quranic Memorisation Competition mencatatkan pencapaian luar biasa apabila berjaya menarik penyertaan seramai 1,958 peserta dari...

More Articles Like This