Tonton Majalah 3 Istimewa : Kapsul Masa, Misi Ke Tokyo malam ini

Dari Penulis

ILMU dikongsi, pameran menjadi misi… 204 artifak dari Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) menjadi tumpuan dalam pameran “14 Dynasties and a Region: The History and Culture of the Muslim World” di Tokyo National Museum, Jepun yang berlangsung dari 6 Julai 2021 hingga 20 Februari ini. 

Eksklusif buat penonton TV3, Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa : Misi Ke Tokyo dengan kerjasama Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) akan disiarkan untukdua episod pada 14 dan 15 Februari 2022, pukul 9.00 malam untuk merungkai misi pengembaraan 204 artifak dari Kuala Lumpur ke Tokyo.

Usaha sama antara MKIM dan Tokyo National Museum telah membuahkan hasil apabila kesemua artifak ini dipinjamkan untuk tempoh lapan bulan kepada Tokyo National Museum yang bertujuan membuka lembaran sejarah ketamadunan Islam di negara matahari terbit itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, pihaknya amat berbesar hati diberikan penghormatan menjadi sebahagian dalam misi pengembaraan.

“Proses pengendalian dan pemindahan 204 artifak itu telah menonjolkan kredibiliti dan ilmu pengetahuan luas pasukan MKIM dalam memelihara dan memulihara peninggalan sejarah dunia.

“Jadi, kami tidak mahu ketinggalan untuk berkongsi kapsul masa yang berharga ini untuk tontonan semua kerana ia merupakan pencapaian besar dimana hasil kerja rakyat Malaysia dalam proses konservasi artifak dipamerkan di mata dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah MKIM, Syed Mohamad Albukhary, berkata, pihaknya amat berdedikasi untuk berkongsi lebih daripada 200 objek dalam koleksi penting mereka kepada komuniti di Tokyo National Museum.

“Kami berharap agar pameran ini akan membuka pintu masyarakat Jepun kepada dunia Islam. Matlamat kami adalah untuk mengetengahkan kebudayaan dan kesenian Muslim bermula daripada awal abad kemunculan Islam sehingga kini,” jelasnya.

Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa : Misi Ke Tokyo Bahagian 1 akan merungkai penyediaan teknikal di sebalik tabir; restorasi, preservasi dan konservasi yang diteliti oleh lima konservator dengan pengalaman khusus dalam bidang seramik, manuskrip, tekstil, logam serta lukisan.

Jika hasil konservasi ini berjaya, pameran di Tokyo akan mencatat koleksi lengkap sejarah serta budaya dunia Islam.

MKIM telah dibuka pada Disember 1998 dan menyimpan artifak berasal dari dunia Islam di Semenanjung Iberia sehingga Asia Tenggara.

MKIM adalah muzium kesenian Islam yang pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara. Makmal mereka juga adalah yang terbaik untuk proses konservasi. Cabaran kali ini berbeza kerana ia melibatkan 204 artifak daripada 60 sebelumnya. Bagaimanakah mereka menjalankan tugasan masing-masing untuk memastikan misi pengembaraan ini dijayakan dalam tempoh kurang sebulan?

Majalah 3 Istimewa : Kapsul Masa : Misi Ke Tokyo Bahagian 2 pula fokus pada fasa seterusnya apabila setiap 204 artifak yang lengkap menjalani proses konservasi, dirapikan dalam peti khas untuk diterbangkan dalam tempoh tiga minggu.

Namun, pengembaraan ini terpaksa dilakukan tanpa penyeliaan dan pengendalian oleh pasukan MKIM sendiri kerana berhadapan dengan isu pandemik Covid-19.

Isu pandemik Covid-19 antara cabaran terbesar dalam misi ini. Pertama kali dalam sejarah MKIM, dua ‘installer’ (pemasang) tidak dapat meneruskan perjalanan bersama artifak kendalian mereka lantaran kes Covid-19 mencatat angka paling tinggi di Malaysia dan Jepun. 

Ikuti perkongsian personaliti dua konservator dan seorang kurator diselami melalui penceritaan ilmu yang mendorong minat mereka dalam bidang konservasi artifak serta keunikan sejarah.

Mengenali karakter pengendali artifak bermaksud membawa penonton lebih dekat dengan keistimewaan khazanah berharga milik dunia Islam dan kepentingan artifak-artifak ini dilindungi dan dikendalikan sebaiknya apabila tiba di sana. 


Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kedua-dua episod Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa : Misi ke Tokyo, kolaborasi antara TV3, MKIM dan Tokyo National Museum bermula malam ini dan esok, pukul 9 malam.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This