HANYA ingin mempromosikan single terbaharunya berjudul Gatal, penyanyi Janna Nick teruk dihentam warganet selepas videonya yang sedang berendam dalam tab mandi dengan dipenuhi buih sabun tular di media sosial.
Menerusi video berdurasi 14 saat itu, kelihatan Janna tersenyum sambil menyanyikan lagunya yang sekaligus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen kerana dilihat tidak sesuai dengan imejnya yang beragama Islam.
“Dunia akhir zaman macam ini lah,” ujar @yatiiiiii
“Itu sebab pentingnya cari pasangan yang beragama. Sama ada akan bawa kita ke jalan kebaikan atau ke jalan kemungkaran,” kata @_shfq97.
“Orang Melayu kita sekarang, bukan tahu malu,” kata @eida2367.
Namun begitu, terdapat segelintir warganet yang turut menyebelahi Janna dan menganggap aksi tersebut sepatutnya tidak menjadi sebarang isu.
“Baru dalam tab mandi, setakat nampak muka, kepala, rambut dan jari. Bukannya telanjang bulat. Ada kamu nampak dia bogel dalam tab mandi tu? Atau memang mata saya saja yang buta sebab nampak buih sabun banyak,” luah @nurulizzatienadhirah.
Komen tersebut turut mendapat reaksi daripada Janna dan mengatakan hanya orang mempunyai mata yang ‘gatal’ sahaja mampu berimaginasi secara berlebihan.
Sehingga kini, video Janna di dalam tab mandi telah ditonton lebih daripada 700,000 kali.

