PASANGAN selebriti Janna Nick dan Dini Schatzmann telah melangsungkan majlis resepsi penuh meriah yang turut dihadiri ramai rakan artis, malam tadi.
Janna atau Nurul Jannah Muner,29, itu meluahkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua yang hadir dan menyokongnya sepanjang perjalanan dalam dunia seni.
“Sebenarnya korang memang adalah yang istimewa, kami hargai di hati kami sepanjang di dunia seni ini.
“Tak kisah sekejap ke lama ke tempoh perkenalan kita semua, saya sangat hargai,” kata Janna dengan penuh emosi.
Majlis yang dihadiri oleh keluarga, sahabat, dan rakan-rakan industri itu turut menjadi “platform” bagi Janna untuk mendoakan kesejahteraan semua yang hadir.
“Insya-Allah yang dijemput pada hari ini (semalam), saya mendoakan kalian.
“Kalau apa-apa yang jadi antara kita, saya akan sedekahkan yaasin,” selorohnya sambil tertawa.
Pengacara Melodi itu juga berharap agar semua yang hadir turut mendoakannya jika suatu hari nanti dia sudah ‘tiada’.
“Semoga semua yang hadir hari ini (semalam) turut mendoakan saya, jika satu hari nanti saya sudah tiada,” tambahnya dengan nada penuh harapan.
Menurut Janna, majlis resepsi tersebut telah ditunda beberapa kali kerana mereka bercadang untuk mengadakan majlis akikah dan “baby shower”, namun tidak berkesempatan.
“Sebenarnya sudah banyak kali tunda majlis resepsi sebab kami ingat kami boleh buat majlis akikah dan “baby shower” tapi tak berkesempatan.
“Saya harap doa daripada semua, insya-Allah,” kata Janna.
Untuk rekod, Janna dan Dini mendirikan rumah tangga pada 10 Jun tahun lalu di sebuah resort mewah di Langkawi.
Majlis tertutup itu menyaksikan Janna menerima mas kahwin sebanyak RM2,703 sebagai simbolik tarikh perkenalan mereka 27 Mac 2019.

