“Nak ambil sesiapa dirasa berbakat sama ada bertujuan pemasaran ataupun bukan, itu adalah hak saya…,” – Erma Fatima tawar Iqbal Zulkefli jadi pelakon

Dari Penulis

PENGARAH dan pelakon terkenal, Erma Fatima mengakui mengambil keputusan berani dengan memberi tawaran lakonan kepada usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkefli.

Menurut pemilik nama Fatimah Rahmad Ali atau mesra disapa Erma,53, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih Iqbal meskipun sedar tindakannya itu bakal dikecam ramai pihak.

“Selama ini, saya melihat Iqbal terlalu kerap berlakon dalam media sosial. Jadi, saya nak juga tengok adakah Iqbal berbakat di depan kamera.

“Justeru, saya menawarkan Iqbal berlakon dalam drama baharu berjudul Perempuan Itu yang bakal disiarkan di kaca TV3.

“Bagaimanapun, Iqbal perlu menghadiri sesi uji bakat terlebih dahulu. Keputusan boleh berlakon atau sebaliknya ditentukan oleh pengarah drama, Isma Yusoof,” ujarnya menerusi laporan BH Online.

Tambah Erma, kegigihan serta semangat Iqbal untuk menceburi dunia lakonan dengan menghadiri uji bakat sekaligus melayakkan dirinya memegang watak pembantu.

“Nyata, menerusi sesi uji bakat selama dua hari, Iqbal sangat komited hadir ke sesi latihan dan lulus dalam ujian.

“Watak diberikan Iqbal hanyalah watak pembantu tetapi bukanlah pelakon ekstra. Ini kerana Iqbal akan menjadi kawan kepada hero drama dan mempunyai dialog,” katanya.

Sementara itu, Erma turut menekankan bahawa pemilihan Iqbal dalam drama tersebut adalah haknya dan tidak mengambil peduli kata-kata negatif yang dilemparkan oleh netizen.

“Jika nak ambil sesiapa dirasa berbakat sama ada bertujuan pemasaran ataupun bukan, itu adalah hak saya.

“Saya tak nak ambil peduli apa yang orang nak cakap soal niat saya. Sebelum ini, Datuk Aliff Syukri pernah diambil berlakon. Sama ada tujuan untuk pemasaran atau sebaliknya, terpulanglah pada pihak berkenaan.

“Kalau betul-betul berbakat, mengapa tidak?,” tegas pelakon drama Mak Cun ini.

Dalam pada itu, Erma turut sempat berkongsi terdapat segelintir individu yang kurang senang akan tindakannya memberi tawaran lakonan kepada Iqbal sehingga bertindak menghantar mesej peribadi.

“Jujurnya, ramai menghantar mesej peribadi meminta saya tidak mengambil Iqbal berlakon. Saya sendiri tidak tahu apa dosa Iqbal kepada mereka,” luahnya.

Terdahulu, Ahmad Iqbal yang mula menceburi bidang nyanyian menerusi program realiti Big Stage telah menerima tentangan ramai oleh kerana dikatakan tidak berbakat.

Namun, perjalanannya dalam program tersebut telah terhenti pada minggu kedua.

Ahmad Iqbal bakal bergandingan bersama pelakon terkenal tanah air iaitu Zul Ariffin dan Mimi Lana menerusi drama 30 episod bertajuk Perempuan Itu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This