TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlakunya satu insiden kemalangan semasa Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah pada pukul 6.15 petang semalam.
Menurut TDM, insiden ini melibatkan dua anggota dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD), iaitu Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix anak Franchis.
“Kejadian tersebut berlaku ketika sesi latihan tembakan sedang dijalankan apabila senjata yang dikendalikan oleh kedua-dua anggota tersangkut (stoppage) dan tidak meletup.
“Kedua-dua anggota telah melaksanakan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi berkenaan.
“Walau bagaimanapun, satu letupan telah berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan,” jelasnya dalam kenyataan.
TDM memberitahu, kedua-dua anggota telah diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan pasukan sebelum dikejarkan ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.
“TDM ingin memaklumkan bahawa keadaan semasa kedua-dua anggota adalah stabil.
“Sarjan Mohamad Firdaus telah menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan, manakala Koperal Felix kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya.
Lembaga Siasatan ditubuhkan
Jelasnya, TDM telah menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar insiden ini secara terperinci dan menyeluruh.
Lapang Sasar tersebut juga katanya, telah ditutup sementara waktu bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.
“TDM memandang serius terhadap insiden ini dan akan memastikan aspek keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) latihan sentiasa diutamakan.
“Pihak TDM memohon kerjasama agar semua pihak, khususnya orang awam dan pengguna media sosial, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi anggota yang terlibat dan keluarga mereka.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu dalam insiden pada 16 Jun lalu, dua anggota tentera maut dalam letupan bom tangan ketika menjalani latihan di lapang sasar sama.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

