PENERBIT dan pengarah, Erma Fatima tampil memohon maaf setelah kenyataannya yang didakwa melagakan dua buah negara berhubung kes kontroversi mengaitkan Sarah Yasmine yang juga kekasih gelap pelakon, Aliff Aziz.
Walau bagaimanapun, Erma atau nama lengkapnya Fatimah Rahman Ali, 56, berpendapat bahawa jangan disebabkan perbuatan salah laku yang dilakukan oleh seseorang individu, maka yang lain turut terkena tempiasnya.
Disamping itu, dia turut bertegas dengan pendiriannya terhadap tindakan Sarah yang didakwa cuba menjatuhkan maruah industri seni serta martabat seorang wanita.
“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya terima kalau ada yang tidak puas hati dengan kenyataan saya.
“Saya minta maaf kalau ia mengguris hati orang Singapura tapi saya tetap dengan pendirian perbuatan perempuan itu (Sarah Yasmine) menjatuhkan maruah orang seni dan maruah perempuan,” ujarnya.
Perkara ini dikongsikan oleh Erma menerusi Instagram miliknya melalui video siaran langsung yang dibacakan oleh Roslan, kelmarin.
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan bahawa tiada sebab untuk saling bermusuhan diantara dua buah negara ini.
Hal ini kerana kebanyakkan artis Singapura yang dibawanya datang ke Malaysia masuk ke dalam industri lakonan sangat diterima baik.
“Salam Lan, Erma minta maaf sebab peguam saya tak benarkan buat apa-apa kenyataan tentang isu ini.
“Yang pasti saya tidak bermusuh dengan warga Singapura, saya tidak suka dengan cara perempuan itu mengaibkan orang yang tiada kena mengena dalam kes Aliff.
“Tiada sebab saya nak bermusuh dengan orang Singapura, saya bawa masuk Aaron Aziz dan Adi Putra ke industri ini dan mereka diterima sebab kelakuan mereka baik,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Erma telah membuat satu kenyataan untuk menggesa Sarah Yasmine agar kembali pulang ke Singapura selepas berbagai kontroversi dicetuskan olehnya mengheret nama beberapa selebriti tempatan.
Perkara ini turut menggemparkan industri seni tempatan, sehingga menyebabkan pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan serta spekulasi berkenaan perkara ini.

