HAMPIR dua dekad yang lalu, nelayan di laut Jepun menjumpai obor-obor aneh yang melekat pada jaring mereka. Saiz obor-obor itu berbeza dengan kebanyakan obor-obor yang biasa mereka temui.
Tidak lama kemudian, para nelayan mula merasakan ikan-ikan semakin berkurangan, tetapi obor-obor aneh itu semakin banyak ditemui. Keadaan itu telah menarik perhatian pengkaji marin.
Kajian yang dilakukan ke atas obor-obor itu mendedahkan kebimbangan terhadap bilangan obor-obor yang dikenali sebagai ‘Nomura’ kerana ia mampu membesar sehingga dua meter dan berat mencapai kira-kira 220 kilogram.

Nomura merupakan obor-obor terbesar di dunia. Nama saintifiknya ialah ‘Nemopilema Nomurai’. Ia hidup di sekitar perairan antara China dan Jepun, terutamanya di Laut China Timur.
Diameter obor-obor ini besar sedikit daripada ketinggian purata seorang lelaki dewasa, iaitu sekitar enam kaki tujuh inci yang beratnya hampir menyamai seekor singa jantan.
Menurut kajian oleh pakar marin Jepun, penemuan obor-obor nomura ini dianggap sebagai bencana tahunan di Jepun. Sejak tahun 2005, perairan Jepun diserang obor-obor ini saban tahun sehingga menjejaskan industri perikanan. Malah, bot nelayan seberat 10 tan juga pernah tenggelam akibat obor-obor ini.
Kebiasaannya seekor ikan akan memakan obor-obor yang masih kecil. Ikan juga bersaing dengan obor-obor untuk mendapatkan makanan seperti zooplankton, akan tetapi dengan penangkapan ikan berlebihan yang dilakukan oleh kebanyakan nelayan menyebabkan bilangan obor-obor Normura ini semakin meningkat.


Menurut kajian yang pernah dijalankan oleh Dr. Shinichi Uye, seorang profesor biologi di Hiroshima University, keadaan tersebut membimbangkan kerana saban tahun jumlah obor-obor itu meningkat dan dibantu pula dengan peningkatan suhu Laut China yang sesuai untuk haiwan itu membiak. Obor-obor Nomura ini sangat mudah membiak dan menghasilkan berbilion telur.
Obor-obor Nomura biasanya membiak di perairan China pada musim bunga, dan ia menjadi dewasa semasa arus lautan perlahan-lahan membawa mereka ke utara. Kebanyakan obor-obor ini mampu membesar sehingga saiz ahli gusti sumo. Pada saiz ini, sekurang-kurangnya hanya lima atau 10 ekor daripada mereka sudah mampu untuk merosakkan jaring nelayan.

Lebih memburukkan lagi keadaan, kawanan Nomura bukan sahaja merosakkan jaring nelayan, tetapi obor-obor gergasi ini juga membunuh ikan-ikan lain dengan racun mereka, yang menyebabkan penurunan kualiti dan kuantiti hasil tangkapan ikan.
Pada tahun 2005, industri perikanan Jepun melaporkan lebih 100,000 kes-kes yang berkaitan dengan obor-obor perosak di seluruh negara Jepun. Kemuncak serangan pada tahun itu, obor-obor raksasa dianggarkan kira-kira 300 hingga 500 juta melalui Selat Tsushima ke dalam Laut Jepun setiap hari.

_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en