Bulan Ramadan sudah semakin hampir, tak lama dah, kurang lebih sebulan sahaja lagi. Jadi bagi yang masih berhutang puasa pada tahun yang lalu, dapatlah membayarnya sementara masih punya waktu. Selain dari qada puasa terutama bagi wanita, masih ada lagi hutang yang perlu dibayar iaitu fidyah.
Apa itu fidyah? Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melibatkan pelanggaran terhadap hukum puasa, haji dan yang berkaitan. Jika ia melibatkan hukum mengenai ibadah puasa, fidyah dikenakan kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada) bulan Ramadhan.
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah S.W.T. sekiranya tidak dilaksanakan.
Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah: 184,
“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
Kiraan Fidyah
Bagi memudahkan anda memahami kaedah kiraan fidyah, sebagai contoh Saleha meninggalkan puasa selama 7 hari kerana keluar darah haid pada bulan Ramadan 1438H (2017). Berikut adalah contoh kiraan berdasarkan situasi:
Situasi 1
Saleha belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadan berikutnya pada tahun 1439H (2018).
Formula Kiraan: [Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah]
7hari x RM4.00 = RM28.00
Situasi 2
Saleha belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Beliau tidak berpuasa pada Ramadan 1438H (2017) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1441H (2020). Saleha berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah beliau.
Formula Kiraan: [(Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah) X Bilangan Tahun Yang Ditinggalkan]
(7hari x RM4.00) x 3 Tahun = RM84.00
Keterangan:
Justeru kiraan akan bermula dari tahun 1439H hingga 1441H = 3 tahun. Tahun pertama yang bermula dari 1438H hingga 1439H tidak termasuk dalam kiraan fidyah kerana masih dalam tempoh puasa boleh digantikan dan belum memasuki Ramadan yang berikutnya.
Golongan Yang Wajib Membayar Fidyah
Terdapat beberapa golongan yang diwajibkan membayar fidyah antaranya:

Pertama: Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan menghidapi penyakit yang tiada harapan untuk sembuh, atau orang tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Fidyah boleh dibayar bermula masuknya Ramadan tahun semasa.
Contoh:
Latif pengidap diabetes yang menjalani dialisis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. Maka, fidyahnya dikira seperti berikut:
Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah
30hari x Rm4.00 = RM120.00
Kedua: Perempuan yang mengandung atau sedang menyusukan anak yang khuatir keselamatan bayi yang dikandung atau anak yang sedang disusukan.
Tidak berpuasa kerana bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini wajib membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada) puasa yang ditinggalkan. Jika puasa belum digantikan sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah yang lain kerana lewat menggantikan puasa.
Contoh:
Sepanjang kehamilan anaknya, Puan Rina tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan pada tahun itu selama 7 hari. Beliau bimbang keadaan bayi yang dikandungnya. Maka sebaik sahaja Ramadan, Puan Rina dikenakan fidyah pada kadar:
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
7 hari X RM4.00 = RM28.00
Ketiga: Perempuan yang mengandung atau sedang menyusukan anak namun khuatir akan keselamatan dirinya ketika berpuasa
Puasa yang ditinggalkan perlu digantikan. Jika masih tidak berganti sehingga tiba Ramadan berikutnya barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.
Contoh:
Puan Asma tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Asma dapat menggantikan puasa tersebut.
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah (cupak)
10 hari X RM4.00 = RM40.00 (fidyah)

Empat: Orang yang telah meninggal dunia
Fidyah meninggalkan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan oleh waris-warisnya jika bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.
Contoh:
Encik Ahmad ialah seorang warga emas yang telah terlantar sakit bertahun-tahun dan tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Pada 13 Ramadan beliau telah meninggal dunia. Maka, fidyah beliau dikira:
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
13 hari X RM4.00 = RM52.00 (fidyah)
Kelima: Orang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhan atau musafir
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
Contoh:
Encik Asri telah tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana corak pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 5 tahun. Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah:
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah (cupak) X bulan Ramadan yang ditinggalkan
3 hari X RM4.00 = RM12 X 5 tahun = RM 60 (fidyah)
Adapun kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat manakala pengiraan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin oleh Baitulmal. Wallahu a’lam
__________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

