PRN Johor: Tiga parti cabar Dr Sahruddin di Bukit Kepong

Dari Penulis

BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Perikatan Nasional (PN) akan ditentang tiga calon lain di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Dr Sahruddin, yang merupakan penyandang kerusi itu, ditentang calon Barisan Nasional (BN) Ismail Mohamed yang juga bekas Ahli DUN (ADUN) Bukit Serampang merangkap bekas Exco Negeri Johor ketika negeri itu diperintah oleh kerajaan BN.

Dr Sahruddin juga akan berdepan saingan daripada dua muka baharu iaitu Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Nur Afiqah M Zulkifli.

Dr Sahruddin Jamal berdepan saingan Ismail Mohamed (BN), Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Nur Afiqah M Zulkifli.

Senarai calon bagi DUN Bukit Kepong itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rahman @ Abdul Rahman Selamat di pusat penamaan calon DUN itu di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, hari ini.

Sebelum ke pusat penamaan calon, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad turut hadir memberi sokongan kepada Dr Sahruddin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Dr Sahruddin yang bertanding sebagai calon PH-Bersatu berjaya meraih 11,665 undi, menewaskan calon BN Mohd Noor Taib dengan 10,392 undi dan calon PAS Iqbal Razak (1,761 undi) dengan kelebihan majoriti 1,271 undi.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor selepas PH berjaya membentuk kerajaan negeri pada 9 Mei 2018.

Pada 14 April 2019, Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan.

Perkhidmatan beliau sebagai Menteri Besar Johor bagaimanapun berakhir selepas kerajaan negeri pimpinan PH tumbang pada Februari 2020.

Sementara itu, berhadapan saingan tiga calon lain sama sekali tidak mengugat keyakinan Dr Sahruddin untuk mempertahankan kerusi Bukit Kepong.

Beliau tetap menaruh keyakinan pengundi di kawasan itu akan memberikan kepercayaan kepadanya, walapun berhadapan saingan sengit daripada calon lain terutamanya daripada Ismail.

“… saya telah berkhidmat di sini selama empat tahun. Semua masyarakat tanpa mengira latar belakang parti atau kaum, semua kita bagi (bantuan) sama rata.

“Saya juga telah berjaya membawa pembangunan di DUN Bukit Kepong,” katanya kepada pemberita selepas sesi penamaan calon.

Ditanya sama ada beliau diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya PN memenangi PRN Johor, Dr Sahruddin berkata perkara itu belum diputuskan dan beliau menyerahkan semuanya kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

 “Saya hanya ahli parti, saya akan pastikan parti saya PN memenangi dahulu PRN Johor ini,” katanya.

Sementara itu, Ismail yang merupakan bekas Ahli DUN Bukit Serampang berkata beliau akan meneruskan usaha dilakukan sebelum ini di DUN itu termasuk isu-isu berkenaan perumahan, pembangunan modal insan serta program bantuan kepada masyarakat miskin sekiranya diberi mandat oleh pengundi.

“Saya perlu kembali berkhidmat di DUN Bukit Kepong untuk meneruskan usaha yang pernah saya lakukan dan saya tidak sampai hati untuk melihat usaha untuk membantu golongan miskin dan membangunkan modal insan di Bukit Kepong tergendala.

“Saya harap apabila diberi peluang oleh masyarakat Bukit Kepong, saya ingin meneruskan usaha yang telah saya rancang dan sedang terlaksana tapi terbengkalai ini,” katanya yang menyifatkan pertandingan empat penjuru itu adalah sihat dan menyerahkan kepada masyarakat untuk memilih.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Saya akan pilih orang yang boleh bantu rakyat Malaysia, kata Michael Ang

PENERBIT dan pengarah terkenal, Michael Ang menegaskan beliau akan memilih individu yang mampu membantu rakyat Malaysia. Penegasan itu dinyatakan Michael menerusi...

More Articles Like This