CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani, membuat laporan polis selepas mendakwa papan tanda (billboard) kempen miliknya menjadi mangsa perbuatan khianat di persimpangan masuk Felda Taib Andak-Felda Inas, semalam.
Beliau berkata, billboard berkenaan didakwa dikoyakkan pada bahagian muka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dengan kejadian itu disedari berlaku semalam.
Susulan insiden berkenaan, katanya, laporan rasmi turut dibuat kepada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR), selain laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada jam 11.34 malam bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Mohamad Shafwan menyifatkan tindakan merosakkan bahan kempen sebagai perbuatan tidak matang dan tidak sepatutnya berlaku dalam landskap politik negara yang mengutamakan persaingan secara sihat.
Katanya, pertandingan politik seharusnya berteraskan idea, dasar dan tawaran kepada rakyat, bukannya melalui perbuatan mensabotaj atau merosakkan bahan kempen pihak lawan.
“Saya menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pihak berkuasa dan berharap tindakan tegas diambil supaya kejadian seumpama ini tidak berulang, sama ada membabitkan saya mahupun calon lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa insiden itu tidak akan melemahkan semangat pasukan kempennya, sebaliknya mereka akan terus berkempen secara berhemah, mematuhi undang-undang serta memberi tumpuan kepada usaha menyampaikan mesej dan tawaran kepada pengundi di Bukit Permai.
Pada masa sama, beliau berharap pengundi membuat penilaian berdasarkan rekod kerja dan keikhlasan calon, bukannya dipengaruhi tindakan yang disifatkannya sebagai cubaan menjatuhkan lawan melalui cara tidak bermoral.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

