PELAKON Catriona Ross meluahkan kekecewaan susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiada lagi perubahan status di aplikasi MySejahtera jika ada individu dikesan sebagai kontak kasual.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Catriona turut mempersoalkan tindakan kurang bijak segelintir individu yang berstatus merah di MySejahtera namun masih bebas berada di tempat awam.
“Saya tak dapat nak hadam dan faham! Maksud saya, status warna merah pun ada ada yang berkeliaran pergi pusat membeli-belah tanpa ada rasa sesal dan salah.
“Sekarang, kalau tak bertukar status, bermaharajalela lah semua,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Catriona turut memuat naik tangkap layar kenyataan daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai status perubahan status kontak kasual di MySejahtera.
Namun, difahamkan, bagi individu yang dikhuatiri kontak kasual, akan menerima notifikasi di halaman pengumuman di MySejahtera sebagai langkah berjaga-jaga.
Meskipun sedar negara kini sudah mengalami peralihan fasa endemik, namun Catriona tetap dengan prinsipnya untuk terus mematuhi peraturan bagi mencegah penularan Covid-19.
“Siapa tahu apa lagi yang akan berlaku selepas ini? Mereka yang bertanggungjawab pun hanya berapa orang sahaja.
“Ya betul, kita sudah memasuki fasa endemik tapi saya akan tetap terus pakai pelitup muka dan berwaspada,” ujarnya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan KKM yang ‘menghapuskan’ status kontak kasual di aplikasi MySejahtera.

