“Isteri dah ikuti jemaah tabligh wanita, anak-anak dah mula hafal surah al-Quran…,” – Erti ‘kemewahan’ cara Faizal Ismail

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SEJAK meninggalkan dunia hiburan, bekas penyampai radio popular, Faizal Ismail akui semakin tenang dengan ‘cinta’ baharunya.

‘Cinta’ yang dimaksudkannya itu ialah apabila dia kini semakin dekat dengan agama dan kehidupannya semakin bahagia bersama isteri dan anak-anak.

Biarpun sewaktu masih aktif sebagai pengacara dan penyampai radio, Faizal atau mesra disapa sebagai FBi mampu menjana pendapatan puluhan ribu sebulan berbanding sekarang, namun sejujurnya dia bahagia dengan jalan baharunya ini.

“Dulu saya memang kejar dunia, sebulan saya mampu dapat puluhan ribu ringgit. Tetapi masa saya dengan Tuhan sangat terhad.

“Ya, saya akui dulu solat saya tak lengkap sebab terlalu sibuk dengan kerjaya. Kadangkala, hanya solat mana yang sempat sahaja.

“Memanglah seronok bila gaji lumayan, dapat pakai kereta apa yang saya inginkan. Malah, dulu saya mampu membeli tiga buah rumah.

“Tapi, semua itu hutang. Bayangkanlah, dulu saya memerlukan sekitar RM14,000 untuk membayar komitmen bulanan termasuklah keperluan isi rumah,” katanya kepada URTV.

FBI ditemui pada majlis sidang media pelancaran program umrah Syarikat Syabibah Travel & Tours, baru-baru ini.

FBI merupakan Pengurus Promosi Syabibah Travel & Tours dan bakal menunaikan ibadah umrah pada Ramadan hadapan bersama selebriti jemputan iaitu Zulin Aziz, Bell Ngasri dan Saharul Ridzwan.

Enggan lagi terus ‘membebankan’ diri dengan kemewahan duniawi sehingga terlepas peluang untuk mendekat diri dengan Allah, Faizal kini selesa hidup sederhana.

Katanya, sejak menyertai jemaah tabligh, dia perlahan-lahan berubah dan makin membiasakan diri dengan transformasi diri.

“Sejujurnya waktu awal perubahan diri saya dulu, isteri (Nor Azlina Ahmad Din) sukar untuk faham dan apa lagi nak terima.

“Setiap hari isteri akan bertanya macam-macam soalan tetapi saya jelaskan usaha saya ini ke arah kebaikan. Tetapi selepas dia nampak saya keluar dengan jemaah tabligh, dia nampak perubahan positif dalam diri saya.

“Alhamdulillah, syukur bila isteri sudah mula ikut jemaah tabligh wanita. Malah, anak-anak sudah mula pergi ke surau dan mendalami agama selain sudah mampu hafal beberapa surah dalam al-Quran,” jelasnya.

Dalam pada itu, bercakap soal pendapatannya yang terkini selepas tidak lagi terbabit dalam industri hiburan, FBI kini menerima banyak undangan yang menjurus ke arah misi dakwah.

“Sekarang ini saya banyak diundang untuk menjadi moderator forum selain menjadi tetamu jemputan.

“Kalau ada tawaran sebagai pengacara, saya akan pilih yang ada unsur dakwah. Memang kalau dilihat dengan mata kasar, pendapatan tidaklah banyak seperti dulu tetapi rezeki saya sentiasa ada.

“Insya-Allah, pada saya jika letakkan agama di depan dan Allah dalam hati, pasti Allah menjaga keperluan kita di dunia dan akhirat.

“Kalau dulu bila saya jadi pengacara, saya yang akan tentukan harga, tetapi sekarang tidak lagi. Sekarang pilih berlapang dada, terima seadanya rezeki yang Allah beri,” jelasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kaki drama bersorak! Viu & iQIYI bergabung tenaga, tawar pakej langganan ‘dua dalam satu’

BERITA baik buat penggemar tegar naskhah dari rantau Asia! Dalam satu pengumuman yang menggegarkan industri hiburan digital serantau hari...

More Articles Like This