[VIDEO] PRN Johor: Pengundi muda tidak pilih parti, mahukan calon berintegriti

Dari Penulis

Pengundi muda di negeri Johor yang akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 12 Mac ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menyatakan mereka tidak memilih parti tetapi mencari calon dan pemimpin yang dilihat bebas rasuah, berintegriti dan mampu memperjuangkan wawasan orang muda.

Tinjauan ke atas pengundi muda oleh UtusanTV di beberapa lokasi di Johor juga mendapati, mereka terdorong dengan situasi semasa negara, khususnya berkaitan kesukaran hidup, peluang pekerjaan dan masa depan lebih terjamin.

Ikuti temu bual dengan mereka.

1. Azizi Rifaie Azizan, 23, berkata, dia akan memilih calon yang dilihat boleh memimpin.

“Pemimpin yang boleh bergerak bersama rakyat bagi mentadbir. Pemimpin perlu berkolaborasi dengan rakyat untuk memajukan tempat-tempat mereka. Siapa memerintah, kami tidak ada masalah, tetapi mereka yang dipilih nanti perlu beri komitmen sebaiknya,’’ katanya.

Azizi Rifaie Azizan, 23

2. Shazatul Aqila Mohd She, 26, memberitahu, bukan parti yang bekerja tetapi mereka yang dipilih itu perlu menggerakkan agenda rakyat.

“Saya berharap calon mana pun yang dipilih, mereka perlulah bersama melihat kebajikan rakyat. Saya adalah graduan dan ketika ini bekerja separuh masa dan tiada pendapatan tetap. Andai Perikatan Nasional (PN), apa yang saya harapkan mereka dapat laksanakan agenda rakyat, turun padang dan sentiasa merendah diri, bukan rasa bangga dan tahu masalah rakyat,’’ katanya. 

Shazatul Aqila Mohd She, 26

3. Mohammad Nazri Nordin, 24, dia memilih calon berwibawa, bebas rasuah dan beri perhatian masalah rakyat.

“Mana-mana parti sekalipun yang akan mentadbir, yang penting boleh berkhidmat sebaiknya kepada rakyat,’’ ujarnya.

Mohammad Nazri Nordin, 24

4. Nur Afiqah Mohd Alim, 25, juga bersetuju pemimpin yang dipilih perlu  jujur dan bebas rasuah.

“Apa yang saya harapkan, lebih banyak peluang pekerjaan diberikan kepada golongan muda. Saya mahu memilih calon berwibawa, mengambil berat terhadap isu rakyat. Mana parti yang mentadbir saya tidak kisah, asalkan dapat melunaskan segala janji yang ditaburkan,’’ jelasnya.

Nur Afiqah Mohd Alim, 25

5. Iffairul Mohd Khir, 20, berkata, pengundi muda sepertinya mahu pemimpin yang dipilih bersih daripada segala kes.

“Harapan saya, untuk pemimpin baharu, seeloknya bersih daripada segala kes. Seperti kita sedia maklum, kes ahli politik ini seperti masalah pilih kasih, penyelewengan duit. Kerajaan perlu lebih peka dan mendengar suara orang muda. Memang orang kata, orang lama lebih banyak `makan garam’, lebih berpengalaman.  Sebenarnya orang muda lebih banyak potensi dari segi idea lebih bagus dan corak kepemimpinan yang lebih kreatif.

“Sesiapa yang memimpin pun, itu bukan satu masalah.  Yang penting adalah cara pemimpin dan sifat pemimpin itu sendiri. Kalau pemimpin mempunyai sifat yang bagus, jadi secara automatik corak pemerintah akan bersih dan bagus,’’ katanya.

Iffairul Mohd Khir, 20

6. Haziq Daniel Kamal Ariffin, 20, berharap rakyat dapat mengundi calon dari parti yang dapat memajukan negara, bukan mengundurkan negara atau merosakkan negara.

Haziq Daniel Kamal Ariffin, 20

7. Maizatul Alia Aziz, 25, pula memberitahu, dia perlukan calon yang berkepimpinan, yang lebih berjiwa rakyat dan mendapat sokongan rakyat.

“Saya harap kepada semua, pilih calon yang boleh jadi pemimpin untuk negara. Jangan salah pilih pemimpin,’’ ujarnya.

Maizatul Alia Aziz, 25

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ribut rosakkan beberapa rumah di Taman Mewah, Shafwan ambil inisiatif segera hulur bantuan

BEBERAPA rumah di Jalan Selendang 13, Taman Mewah, Bukit Permai, mengalami kerosakan selepas kawasan itu dilanda ribut. Calon Pakatan Harapan...

More Articles Like This