DI antara makhluk yang paling memukau di alam ini adalah lebah, haiwan kecil yang istimewa di dalam Islam, sehinggakan nama haiwan ini diabadikan di dalam Al-Quran sebagai salah satu nama surah, iaitu surah An-Nahl.
Walaupun mempunyai sengat berbisa, tetapi dari sisi lain, serangga ini berguna kepada manusia kerana menghasilkan madu – makanan yang lengkap dan sempurna.
Sejak ribuan tahun manusia percaya madu lebah mempunyai banyak khasiat dan menjadi penawar untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Dianggarkan, manusia mula mengenali madu lebah lebih 10,000 tahun lampau, ketika era pembentukan tamadun awal manusia.
Pada zaman Mesir kuno, madu menjadi barang keperluan harian yang sangat penting. Ia bukan sekadar menjadi manisan, tetapi madu juga ada kalanya dijadikan sebagai ukuran mata wang kerana nilainya yang sangat tinggi ketika itu.
Disebabkan nilai komersialnya yang meningkat, sejak tahun 2000 sebelum Masihi lagi, masyarakat Mesir telah memelihara lebah dalam sarang buatan untuk mengumpul madu. Selepas itu, industri madu terus berkembang ke seluruh pelosok dunia dari semasa ke semasa.
Sehinggalah dalam era moden hari ini, madu lebah diiktiraf antara makanan terbaik di dunia kerana khasiatnya yang tidak ternilai kepada manusia sejagat.

Di sebalik keajaiban madu itu sendiri, ramai tidak tahu bahawa madu yang dikutip dari sarang lebah telah melalui beberapa proses di dalam perut serangga kecil itu sehingga menjadikannya berkhasiat.
Berdasarkan penelitian yang pernah dijalankan di University of California yang diketuai oleh Dr. Eric C. Mussen, lebah bukanlah sekadar agen untuk mengumpul manisan dari bunga-bungaan, sebaliknya ia turut memproses manisan di dalam beberapa lapisan perutnya sebelum mengeluarkan madu yang likat.
Sebenarnya, kenyataan mengenai madu yang dikeluarkan dari perut lebah yang berlapis-lapis telah pun diterangkan di dalam kitab suci Al-Quran.
Melalui sepotong ayat dari surah An-Nahl, Allah menerangkan dengan nyata mengenai perkara ini serta khasiatnya kepada manusia.
Firman Allah yang bermaksud, “… (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya (butuniha) minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang menjadi penawar bagi manusia dari berbagai-bagai penyakit…” (Surah An-Nahl; ayat 69).
Kalimah ‘butuniha’ dalam ayat di atas diterjemahkan kepada kata ganda ‘perut yang banyak’ atau ‘perut-perut’ yang diambil dari kata akar ‘batnun’. Manakala perkataan ‘ha’ di penghujung kalimah yang sama pula merujuk kepada seorang perempuan atau betina.
Ayat ini menunjukkan bahawa lebah betina mempunyai beberapa perut iaitu ‘butuniha’. Apabila ia mengumpul nektar (sejenis manisan) daripada bunga, nektar ini disimpan di dalam perut untuk dibawa pulang ke sarang.
Pada bahagian perut ini terdapat satu injap yang menghalang nektar tersebut daripada memasuki sistem pencernaannya, kecuali sedikit sahaja yang diperlukan oleh lebah untuk hidup.
Di bahagian belakang badan lebah pula terdapat pecahan yang terdiri daripada segmen-segmen dalam bentuk lilitan. Bahagian inilah yang berfungsi sebagai makmal kimia untuk menghasilkan madu.

Kajian yang dijalankan oleh Dr. Eric C. Mussen turut mendapati hanya lebah betina sahaja yang bertugas untuk memproses madu. Berdasarkan kajian itu, dalam sesebuah koloni lebah terdapat tiga jenis lebah iaitu ratu yang berstatus betina, lebah jantan serta lebah betina yang mandul.
Ratu lebah berperanan untuk bertelur, lebah jantan pula akan menjaga sarang, manakala lebah betina yang mandul akan keluar mencari sumber bunga untuk menghasilkan madu. Ia sama seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nahl yang merujuk kepada lebah betina yang memproses madu.
Terdapat pelbagai jenis warna madu sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran melalui ayat yang sama. Ia berubah mengikut iklim, musim dan keadaan cuaca serta sumber di mana nektar diperoleh.
Demikianlah hebatnya Al-Quran, yang menerangkan secara terperinci bagaimana sesuatu perkara itu terjadi. Ketika manusia belum mencapai tahap kemodenan untuk mengkaji mengenai penghasilan madu, Allah terlebih dahulu menerangkannya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

