CUBA anda teka, dalam banyak-banyak monyet, monyet apakah yang mempunyai misai seperti manusia? Jawapannya ialah monyet ‘Emperor Tamarin’.
Di sebalik namanya yang unik juga mengandungi sejarah tersendiri. Menurut sumber organisasi Konservasi Primat New England, nama Emperor Tamarin diperoleh daripada Maharaja Jerman, Wilhelm II, berdasarkan bentuk misainya yang dikagumi ramai. Disebabkan itu, gelaran sedemikian diberi ke atas spesies monyet ini kerana gaya misai yang dikatakan hampir serupa.

Misai yang dimiliki oleh monyet ini tumbuh panjang dan melentik ke bawah. Keadaan itu kadangkala menampakkan haiwan ini seakan mempunyai janggut yang bersambung dengan misai.
Dengan badannya yang berona gelap, bulu yang tumbuh di sekitar kawasan mulut monyet ini berwarna putih menyebabkan ia terlihat jelas meskipun dari jauh.
Jika di kalangan manusia, misai antara faktor yang membezakan lelaki dan perempuan, tetapi tidak dalam kumpulan monyet ini. Tidak kira jantan atau betina, monyet ini memiliki fizikal yang sama. Hal ini termasuklah misai putih panjang yang tumbuh di bahagian atas mulut mereka. Cuma monyet tamarin remaja memiliki misai lebih pendek berbanding dewasa.

Saiz tubuh monyet ini kecil saja. Purata panjang seekor monyet tamarin berukuran antara 23 hingga 26 sentimeter. Sementara berat dewasa haiwan ini dianggarkan kira-kira 500 gram sahaja. Manakala panjang ekornya boleh mencecah sehingga lebih 40 sentimeter.
Fizikalnya yang ringan menjadikan monyet bermisai ini lincah dalam setiap pergerakan. Tidak hairanlah kumpulan monyet ini tergolong dalam kategori haiwan yang aktif sepanjang hari.
Monyet bermisai ini bergerak secara berkumpulan. Mereka hidup dalam kumpulan besar dan bergerak seramai kira-kira empat hingga 15 ekor.
Monyet ini mudah ditemui di hutan hujan tropika Amazon. Lebih tepat lagi, hutan yang terletak di Peru, Brazil dan Bolivia. Purata jangka hayatnya sekitar 17 hingga 20 tahun.
Difahamkan, proses mengawan monyet ini boleh kebiasaannya antara bulan April dan Julai. Monyet betina akan bunting selama 140 hingga 145 hari sebelum sampai tempoh melahirkan anak.
Comel kan monyet ni?


________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

