SAJIAN lebih 50 program istimewa serta kolaborasi amal bagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat bakal semarakkan pengisian Ramadan 2022
BERSEMPENA dengan kehadiran bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV tampil dengan tema istimewa penuh bermakna Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNYA bagi melatari Kempen Ramadan 2022 tahun ini.
Dengan inspirasi tersebut, pengisian komprehensif sepanjang bulan mulia ini akan dizahirkan menerusi himpunan lebih 50 program menarik pelbagai genre yang bakal menanti para penonton serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi sebuah kolaborasi amal bersama syarikat korporat, Koperasi Amanah Pelaburan Berhad atau KAPB.
Mulai 3 April ini, penonton bakal dihidangkan dengan seleksi kandungan terhebat merangkumi genre keagamaan, telefilem, drama bersiri, koleksi filem terlaris tempatan dan antarabangsa, naskhah throwback klasik malar segar, sketsa, komedi, variasi, bual bicara serta banyak lagi yang boleh ditonton menerusi platform Awesome TV di saluran Astro 123 dan MyTV 112.
Mengulas lanjut mengenai pengisian kempen Ramadan tahun ini, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, selepas dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, pihaknya menyambut baik pengumuman peralihan fasa endemik bermula 1 April ini.
“Kami melihat peralihan kepada fasa endemik itu dapat memakmurkan semula tradisi sambutan bulan penuh barakah ini dengan pelbagai aktiviti ibadah.

“Justera Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNYA dipilih khas untuk menerajui Kempen Ramadan Awesome TV 2022 kerana ia membawa pengertian yang sungguh bermakna dalam menyuntik inspirasi sekaligus mengangkat semula semangat rakyat Malaysia yang pastinya terkesan akibat pandemik.
“Selaku stesen televisyen, Awesome TV juga sentiasa komited dan mengambil langkah proaktif dalam menyediakan sajian program menarik pelbagai genre khas untuk tatapan rakyat Malaysia yang pastinya mempunyai citarasa berbeza sepanjang bulan mulia ini sekaligus memikat hati mereka.
“Lebih istimewa, kami juga tidak lupa membawa amanat yang sama menerusi kolaborasi amal bersama pihak KAPB bagi menjayakan inisiatif CSR sempena Ramadan pertama Awesome TV. Sebagai simbolik tema kempen kami pada tahun ini, sebanyak 15 unit permaidani eksklusif dari Masjidil Haram, Mekah akan dihadiahkan kepada 15 buah masjid terpilih di sekitar Lembah Klang untuk dimanfaatkan bersama,” katanya kepada URTV.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

