Tri-D Event And Management Sdn Bhd (TEAM) menerusi kerjasama SME Corp. Malaysia melaksanakan Program Micro Connector, “Pencinta Kecantikan Menjana Pendapatan” khusus bagi membantu perusahaan mikro terutama usahawan dalam bidang solekan menjalankan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Majlis disempurnakan Rizal Bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia. Ulasnya menyedari kepentingan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan wanita dalam memperkasakan ekonomi negara, SME Corp. Malaysia terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan daya saing.

“Berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga Disember 2021, jumlah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia adalah sebanyak 1,226,494 dan daripada jumlah ini 78.6% adalah dalam kategori perusahaan mikro.

”Menyedari kepentingan PMKS dan wanita dalam memperkasa ekonomi negara, Kerajaan Malaysia menerusi pelbagai Kementerian dan agensi seperti SME Corp. Malaysia terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk programprogram pembangunan bagi memperkasakan dan meningkatkan daya saing PMKS termasuk usahawan wanita di negara ini,” ulasnya.

Program “Pencinta Kecantikan Menjana Pendapatan” merupakan kesinambungan daripada program yang telah dilaksanakan sebelum ini dan merupakan program teknik solekan lanjutan dengan objektif membantu komuniti inklusif terutamanya perusahaan mikro, golongan wanita, ibu tunggal dan B40 untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang kecantikan dan seterusnya menjana pendapatan lumayan melalui keusahawanan.

Seramai 200 peserta diberikan pendedahan teknik Mekap Solekan Terkini (Advance Makeup), Mekap Solekan Pentas (Stage Makeup), Mekap Kesan Khas (Special Effect Makeup) dan Mekap Hijab serta Tutorial Turban oleh beberapa jurusolek profesional yang terkenal seperti Sheila Muhamad, Tym Fatimah dan El Manda Zuhairy.

Peserta program turut dibekalkan senaskah buku “START ME UP – Kit Panduan Bagi Perniagaan Permulaan” yang diterbitkan oleh SME Corp. Malaysia dalam usaha membantu para peserta menjadi usahawan yang berjaya dalam menjana pendapatan lumayan.

Menurut Pengarah Urusan TEAM, Sarina Sharif, objektif utama program ini bagi membantu jurusolek tempatan dari kalangan usahawan B40 mengembangkan lagi bakat.

“Kursus kali ini lebih memberi fokus kepada teknik solekan khas dan solekan industri. Dan sekaligus memperkenalkan peserta ke dalam industri hiburan tanah air bagi mengembangkan lagi potensi diri,” jelasnya ketika dihubungi.