MEMANG seronok bercerita dan mendedahkan keburukan orang. Lancar sekali saat berbicara, segala aib orang terdedah tanpa sekatan. Tetapi, bagaimana pula andai aib sendiri menjadi umpatan orang?
Sekiranya kita boleh menceritakan keburukan orang lain, maka tidak mustahil orang lain juga membicarakan aib kita. Bermula dari situlah akan wujudnya perbalahan dan permusuhan yang akhirnya memecahkan perpaduan.
Perbuatan menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain adalah salah dan dilarang, bahkan haram hukumnya.
Jika keburukan yang diceritakan benar-benar berlaku, lalu kita menceritakannya kepada orang lain tanpa tokok tambah, maka ia dianggap sebagai mengumpat (ghibah).
Sekiranya keburukan yang diceritakan itu tidak dilakukan cuma kita yang mereka-reka cerita, atau menokok tambah cerita menjadi lebih besar, ia bererti kita telah melakukan perbuatan fitnah. Sama ada ghibah atau fitnah, kedua-dua tetap dosa besar.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” – Surah al-Hujurat (12)
Menurut Ibn Kathir, Allah SWT melarang hamba-hambanya yang beriman daripada bersangka buruk iaitu dengan menuduh sembarangan dan berlaku khianat kepada orang lain mahupun ahli keluarga terdekat.
Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar kerana jelas larangannya. Para ulama juga bersepakat atas pengharaman membuka aib seseorang kecuali atas maslahat-maslahat tertentu mengikut saluran yang sepatutnya.
Bila aib boleh didedahkan?
Islam mempertahankan hak manusia yang teraniaya dan menentang sebarang bentuk kezaliman. Namun, Islam menetapkan batasan dan saluran yang betul dalam menyelesaikan masalah.
Dijelaskan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim dan Riyadhus-Salihin, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang.
- Apabila diri dizalimi, harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang dizaliminya.
- Memohon bantuan untuk mengubah sesuatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Misalnya melaporkan kepada pihak berkuasa untuk mengubah kemungkaran, “Si A telah melakukan perbuatan salah, tegahlah dia daripada terus melakukan kemungkaran.”
- Bertujuan mendapatkan fakwa (pandangan agama).
Aisyah RA meriwayat sepotong hadis, kata beliau:
قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.
Maksudnya: “Hindun Ummu Mu’awiyyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik” – (Riwayat Bukhari)

- Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga daripada suatu bentuk kejahatan. Seperti mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam satu organisasi kepada pihak yang lebih berkuasa agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.
- Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti minum arak, menganut ajaran sesat dan seumpamanya. Namun, haram membuka aib berserta kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu yang dinyatakan di atas.
- Untuk memperkenalkan diri seseorang, maka harus menyebutnya dengan suatu gelaran yang sudah dikenali dan dia tidak berasa marah disebut dengan gelaran tersebut, seperti ‘si tempang’, ‘mat rabun’ dan sebagainya. Tetapi haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat seseorang.
Jadilah seorang yang sentiasa positif dan jauhilah daripada sifat suka mendedahkan keburukan orang lain, walaupun ia benar-benar berlaku.
Carilah jalan penyelesaian yang terbaik tanpa perlu menyebarkan aib. Kita juga tidak boleh terus membuat andaian dan sangkaan buruk di atas setiap keburukan yang berlaku atau yang kita lihat.
“Sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, maka Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat.” – Hadis riwayat Ahmad
Sumber : Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan & 40 Nasihat Terbaik Penyubur Iman

Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi.
Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

