Besar ganjaran solat subuh

Doa lazimnya difahami sebagai bentuk permintaan atau permohonan dari seorang hamba kepada pencipta Nya. Walaupun begitu ia bukan bererti hanya orang-orang yang ditimpa musibah atau yang merasakan kekurangan sahaja yang layak memanjatkan doa.

Sebagai manusia tuntutan berdoa perlu untuk menzahirkan kelemahan diri dengan hanya meletakkan kebergantungan kepada Allah. Doa juga adalah hubungan yang mengikat antara manusia dengan Allah.

Justeru itu, keperluan doa adalah sangat penting terutama yang berkait rapat dengan apa telah yang dibincangkan dalam artikel sebelum ini.  Dalam syariat Islam, konsep doa bukan hanya permintaan yang dipanjat ketika di luar solat, bahkan para ulama telah mendefinisikan solat merupakan salah satu dari medium doa.

Dalam penentuan takdir manusia sehari-hari, ia sebenarnya terkait dengan solat terutama solat pada waktu subuh. Kenapa solat subuh mempunyai hubung kait yang rapat dengan takdir? Jawapannya kerana solat ini merupakan amalan yang paling awal dilakukan seusai kita bangun dari tidur.

Berkongsi lanjut tentang kelebihan solat subuh dengan penentuan takdir, Mohd Shahril Abd. Samat, Imam Masjid Jamek al-Khadijiah Pantai Dalam mengakui bahawa solat subuh mempunyai banyak fadilat-fadilat yang utama. Sebelum memulakan rutin sepanjang hari, perkara utama yang perlu diambil perhatian sebagai umat Islam adalah mencari keberkatan dan keredaan Allah.

Ini penting dalam kita ingin melayari kehidupan sepanjang hari, kerana hanya dengan rahmat dan keberkatan dari Allah, yang akan menjadi pelindung dan penentu kejayaan kita di hari tersebut.

Kejayaan dan keberkatan seseorang bermula dari solat subuh

Bayangkan sekiranya solat subuh iaitu amalan paling awal tidak dilaksanakan, bagaimana kita dapat menarik rahmat Allah sepanjang hari? Dan bagaimana pula kita akan dapat memperoleh kejayaan dan kebahagiaan dunia jika mengabaikan tuntutan dari Nya.

Dalam sebuah hadis daripada Jundab b. Abdullah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sesiapa yang mengerjakan solat Subuh nescaya ia berada di dalam lindungan Allah. Oleh itu janganlah sampai Allah menuntut daripada kamu sesuatu daripada tanggungannya (zimmah) nescaya Dia (Allah) dapatkannya kemudian Dia (Allah) menyembamkan mukanya ke dalam api neraka” (HR Muslim)

Dari hadis ini sudah jelas bahawa mereka yang melaksanakan solat subuh pastinya akan mendapat perlindungan dari Allah. Apatah lagi dalam solat subuh itu mempunyai satu doa yang cukup hebat iaitu doa qunut merangkumi permohonan untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Kelebihan Solat Subuh

Terdapat banyak lagi kelebihan bagi mereka yang mendirikan solat subuh antaranya sabda Baginda s.a.w.

“Para malaikat malam bertukar dengan para malaikat siang dan mereka berhimpun pada waktu solat subuh dan solat asar. Mereka kemudian naik ke langit dan Allah bertanya mereka dan Dia lebih mengetahui, “Bagaimana kamu tinggalkan hamba Ku?” para malaikat menjawab, “Kami tinggalkan mereka dalam keadaan menunaikan solat dan kami bertemu dengan mereka juga dalam keadaan menunaikan solat, ampunkanlah mereka di hari pembalasan” (Muttafaqun alaih)

“Dan (dirikanlah solat subuh). Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (para malaikat).” (surah al-Isra: 78)

Dari Umarah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Tidak akan masuk neraka seorang yang solat sebelum terbitnya matahari (subuh) dan terbenamnya matahari (Asar)” (HR Muslim)

Alangkah hebat dan bertuahnya bagi yang dapat melaksanakan solat subuh. Mereka bukan sahaja mendapat perlindungan dari Allah, diharamkan api neraka padanya, bahkan mereka juga turut didoakan dan dijaga oleh para malaikat sepanjang hari tersebut.

Untuk meraih masa depan yang lebih baik, lebih selamat dan bahagia, manusia memerlukan pertolongan yang memberi izin untuk perkara tersebut iaitu Allah S.W.T. yang menentukan segala hal.

Mintalah pertolongan Allah dengan sabar dan solat

Dan dari segala perkara yang mendatangkan rahmat Allah baik dari pengaduan, harapan dan cita-cita Allah telah memerintahkan kita agar memohon pertolongan kepadanya melalui jalan solat. Firman Nya surah al-Baqarah: 45,

“Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan mengerjakan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”

Sebaliknya, bagi yang gagal, sudah pasti ia menjadi seorang yang sangat rugi bahkan mengundang kemurkaan Allah. Dan, tidaklah pentingnya bahawa seorang Muslim itu tidak boleh pernah berhenti meminta kepadanya kerana sikap tersebut adalah satu kesombongan dan membawa kita ke satu seksa yang sangat pedih.

Ingatlah satu hadis yang begitu bermakna pada kita umat Islam bagi menunjukkan betapa cintanya Baginda s.a.w. kepada umatnya yang bangun solat subuh.  Sabda Baginda s.a.w.

“Ya Allah! berkatilah umatku, selama mana mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya)” (HR Turmizi & Abu Daud)

______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare