“Kami masih lagi berkawan tapi tidak serapat dulu…,” – Wani Kayrie sangkal lagu Kamu Kamu ditujukan pada kekasih

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

WALAU masih muda, siapa sangka, penyanyi, pelakon serta pengacara, Wani Kayrie sudah berkecimpung dalam bidang seni tempatan lebih sedekad lamanya.

Buat anak kelahiran Sandakan, Sabah ini, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Maisarah Abdullah bukanlah artis genit yang biasa-biasa.

“Perjalanan seni saya masih jauh dan banyak lagi yang ingin saya lakukan sebagai seorang pejuang seni.

“Namun saya percaya, berkat kesabaran dan kerja keras yang berterusan pasti membuahkan hasil pada satu hari nanti,” kata Wani memulai bicara.

Terbaharu, Wani tampil dengan single pop dansa kemelayuan berjudul Kamu Kamu hasil gubahan komposer Ziin dan lirik oleh Jerry, manakala diterbitkan oleh label hiburan terkenal, Rocketfuel Entertainment.

“Hampir empat bulan single Jangan Terlepas Pandang dilancarkan, saya kini bersedia untuk ke fasa seterusnya. Lagu Kamu Kamu adalah interpretasi saya yang mahu mencuba pelbagai genre muzik.

“Dalam berkarya, saya mahu mencuba semuanya agar tak ada yang terlepas!” jelas Wani.

Selain berbakat dalam bidang seni, Wani juga seorang pelajar yang pintar dengan memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik.

“Memandangkan pembelajaran sekarang hanya atas talian, saya akan bawa iPad ke mana-mana, jadi ia bukanlah alasan untuk tidak hadir ke kuliah.

“Saya cuba siapkan tugasan yang diberikan di mana jua saya berada, waktu siang diperuntukkan untuk bekerja, manakala waktu malam pula untuk belajar,” kongsinya.

Proses rakaman lagu Kamu Kamu yang memakan masa selama dua jam berjaya di sempurnakan oleh Wani kerana dia terlebih dahulu telah membuat persiapan yang secukupnya.

Manakala, komposer Ziin pula banyak membantunya dalam memberi idea dari segi nyanyian.

“Ketika memasuki studio, saya telah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal agar vokal dapat sampai seperti mana yang dimahukan oleh abang Zimi (Ziin).

“Dia banyak memberi tunjuk ajar tentang teknik nyanyian yang sepatutnya untuk ‘menghidupkan’ lagu ini.

“Menurut penulis lirik, lagu Kamu Kamu bermaksud kerinduan seseorang terhadap pujaan hatinya yang tiada di depan mata.

“Kesetiaan dalam menantikan kepulangan pujaan hatinya itu terbawa sehingga ke dalam mimpi. Namun dia terus berharap agar pujaan hatinya itu kembali padanya,” ungkapnya.

Pada usia 21 tahun, hati Wani pernah ditawan seseorang namun perhubungan itu terhenti akibat kesibukkan masing-masing.

Ditanya apakah lagu ini ditujukan pada si dia, jawab Wani tenang, “Eh taklah! Kami masih lagi berkawan, tapi tidak serapat dulu dan lagu ini tiada kena-mengena dengan kisah peribadi saya,” jelasnya ringkas.

Wani boleh dikatakan di antara penyanyi muda negara yang versatil, kalau pendengar amati melodi Kamu Kamu, elemen muzik pop dangdut jelas kedengaran dalam korusnya yang catchy dan mengasyikkan.

“Bagi saya, kepelbagaian itu sangat penting dalam memperkenalkan lagi kebolehan Wani Kayrie kepada orang ramai.

“Dan kalau ada jemputan untuk membuat persembahan pentas, saya sudah bersedia dengan portfolio yang pelbagai mengikut jenis acara,” katanya.

Dalam video muzik (MV) sebelumnya, Wani tampil dengan imej ‘garang’ dan serius, namun untuk MV Kamu Kamu pula, konsepnya lebih bersahaja dan berbeza dengan menampilkan imej yang lebih muda serta segar sesuai dengan usianya sekarang.

“Harapan saya semestinya agar semua pendengar dapat menerima dengan baik lagu Kamu Kamu dan semoga lagu ini boleh menjadi tular atau mana tahu, sebuah fenomena dalam industri hiburan kita,” akhirinya.

Lagu Kamu Kamu boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This