PADA zaman dahulu, pelbagai teori dan andaian diperbincangkan oleh manusia mengenai ruang vakum, yang mana kebanyakannya mengatakan ruang itu hanya wujud di luar bumi, yakni di angkasa.

Abu Nasir Al-Farabi adalah ilmuwan Islam pertama yang melakukan uji kaji mengenai kewujudan hampa gas pada abad ke-9 Masihi.

Berdasarkan kepada catatan sejarah, terdapat banyak pertikaian di kalangan ilmuwan kuno mengenai kewujudan ruang hampa gas ini. Falsafah Yunani misalnya agak sukar untuk mengakui wujudnya keadaan hampa gas kerana ahli-ahli falsafahnya cenderung mengandaikan setiap ruang pada asasnya mempunyai isi padu dan jisim.

Antara individu terawal yang teguh berdiri di belakang teori itu ialah Plato. Beliau percaya bahawa semua benda fizikal merupakan kejadian platonik abstrak yang ideal. Malah, Plato sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana bentuk unggul bagi ruang vakum yang sebenarnya.

Begitu juga dengan Aristotle yang menganggap penciptaan hampa gas adalah mustahil, dengan kata lainnya ruang kosong itu tidak boleh ditakrifkan menjadi sesuatu. Baginya, setiap ruang yang wujud di cakerawala ini mempunyai tekanan dan itu membawa maksud wujudnya jisim. Apa yang membezakannya hanyalah tahap tekanan yang tinggi atau rendah sahaja.

Apa yang terkandung antara ruang langit dan bumi sejak zaman dahulu sering dibincangkan pengkaji.

Bagaimanapun, menjelang awal abad pertama Masihi, hakikat itu mula berubah apabila masyarakat Yunani mula percaya ruang vakum itu boleh wujud. Namun, keadaan tersebut hanya boleh berlaku di luar kosmos sahaja, tetapi tidak di bumi.

Ilmuwan Islam turut mempunyai pelbagai pandangan mengenai perkara ini. Ada yang bersetuju dengan teori hampa gas di luar kosmos manakala ada juga pihak yang menolaknya. Perdebatan itu telah mencetuskan beberapa siri uji kaji kecil, namun kewujudan hampa gas secara sempurna di kosmos terlalu sukar untuk dibuktikan.

Pada abad ke-17 dan ke-18, teori ruang kosmos adalah vakum kembali menjadi pertikaian. Ini kerana, ahli sains mula mempertikaikan tentang sifat cahaya yang sepatutnya bergerak dan bergantung pada kewujudan bahan perantara. Dengan kata lain, cahaya tidak mampu untuk bergerak dalam keadaan vakum.

Sehinggalah pada 1912, pakar kaji bintang Henry Pickering mengesahkan ruang kosmos sebenarnya terisi dengan molekul yang bergas. Perkara itu kemudiannya berjaya dibuktikan secara saintifik oleh Paul Dirac pada tahun 1930.

Di sebalik pelbagai teori yang diutarakan oleh manusia, al-Quran juga turut menyentuh tentang perkara ini. Kitab suci umat Islam ini telah memberitahu bahawa di samping penciptaan langit dan bumi, Allah juga telah mencipta ruang di antara kedua-duanya.

Firman Allah dalam surah Thoha, ayat 6 yang bermaksud; “Apa yang ada di langit dan di bumi, segala yang wujud antara kedua-duanya dan semua yang ada di bawah tanah, semuanya kepunyaan Allah.”

Berdasarkan ayat itu, Allah telah menerangkan kepada kita bahawa di antara langit dan bumi itu sebenarnya terdapat sesuatu yang tidak dijangka oleh manusia. Secara kiasan kita boleh menganggap apa yang dinyatakan di sini merupakan unsur-unsur tertentu yang mengisi ruang kosong tersebut.

Selain dalam surah Thoha, Allah turut menerangkan perkara yang sama dalam beberapa surah lain seperti surah Al-Hijr ayat 85, surah Al-Furqan ayat 59, surah Al-Ahqaaf ayat 3 dan surah Ad-Dukkhaan ayat 7 dan 38.

Sains pada hari ini mengesahkan ruang-ruang antara bintang dan galaksi (intersteller space) mengandungi unsur-unsur tertentu. Ia dikenali sebagai intersteller matter dan intersteller radiation field. Unsur terpenting yang memenuhi ruang ini adalah gas, termasuk plasma dan habuk kosmik.

Kesemua unsur-unsur ini wujud dalam bentuk atom, molekul, cahaya, radiasi dan yang seumpama dengannya. Adapun gas-gas yang wujud itu 90% daripadanya adalah hidrogen manakala selebihnya adalah helium. Daripada gas-gas inilah lahirnya bintang-bintang serta galaksi-galaksi baru.

Dalam abad ini, isu mengenai angkasa raya hangat dibincangkan terutamanya apabila melibatkan unsur graviti. Sekiranya gas hidrogen dan helium berperanan melahirkan bintang dan galaksi, unsur apa pula yang menyebabkan wujudnya tarikan graviti secara seimbang?

Setakat ini, saintis hanya menyatakan ia sebagai materi gelap atau pun dark matters. Bagaimanapun, persoalan mengenainya masih samar. Namun apa yang pasti ia benar-benar wujud dan mengisi ruang di antara langit dan bumi.

Itulah antara mukjizat dan kehebatan Al-Quran yang dapat dibuktikan melalui sains. Perkara ini telah pun dijelaskan 1400 tahun yang lalu, tetapi ia hanya dapat dirungkai oleh manusia pada abad ke-20.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/