PELAKON Raja Ilya dan suaminya, Trent Garret bakal menimang cahaya mata sulung perempuan tidak lama lagi.
Setelah memuat naik pautan petunjuk mengenai jantina bayi mereka pada 1 April yang lalu, ramai pengikut di media sosial membanjiri ruang komen serta berteka-teki mengenai jantina bayi sulung artis kelahiran Ipoh, Perak itu.
Raja Ilya kemudiannya memuat naik gambar mengumumkan jantina bayi perempuan mereka semalam sekaligus menjawab semua persoalan yang bermain di minda pengikutnya.
Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 36, menulis di laman Instagram miliknya bahawa dia dan suaminya sangat gembira kerana hasrat mereka untuk menimang anak perempuan tercapai.
“Allah tahu yang terbaik buat kami. Nasib baik bukan bayi lelaki.
“Kami tak ada pengalaman sangat menguruskan bayi lelaki,” tulisnya.
Raja Ilya turut menghargai doa daripada pengikutnya di media sosial yang rata-rata berharap bayi yang bakal dilahirkan itu nanti dalam keadaan sihat.
“Ramai yang teka bayi lelaki. Saya hargai tekaan anda semua.
“Paling penting, bayi sihat walafiat. Terima kasih untuk semua doa dan ucapan,” katanya lagi.
Berita gembira itu pada awalnya diumumkan oleh Garret di laman Instagram mereka menyatakan bahawa bayi yang berada dalam kandungan isterinya adalah perempuan.
“Ia merah jambu. Maksudnya, bayi le…, maaf, perempuan,” kata Garret dalam video yang dimuat naik di laman Instagram Raja Ilya.
Raja Ilya yang juga merupakan pemegang watak Inspektor Shakila dalam drama bersiri aksi Gerak Khas itu turut meluahkan rasa teruja dan bersyukur selepas menerima keputusan jantina bayi tersebut.
“Bolehlah melaram sekali nanti dengan anak. Kami memang mengharapkan bayi perempuan.
“Keluarga Garret pun mengharapkan bayi perempuan dalam keluarga kerana keluarga sebelah Garret semua lelaki.” tulisnya.
Raja Ilya dijangka akan bersalin sekitar bulan Julai nanti setelah mengumumkan dirinya hamil anak sulung dengan usia kandungan memasuki lima bulan pada bulan yang lalu.
Untuk rekod, Raja Ilya dan Garret melangsungkan pernikahan pada 23 Disember 2018.

