PELAKON Raja Ilya selamat melahirkan bayi perempuan di Perth, Australia, semalam.

Menurut Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, bayi sulung hasil perkahwinannya bersama Trent Garret, 40, itu dinamakan Talita Love.

“Syukur alhamdulillah puteri kami sudah di sini. Kalau anda kata saya akan hamil lagi dalam tiga tahun, saya hanya akan ketawa.

“Hari ini saya alami sebuah keajaiban, saat magis kelahiran bayi perempuan saya, Talita Love. Air mata saya mengalir dan saya masih terkejut.

“Terima kasih atas kasih sayang, sokongan dan doa ,” katanya menerusi Instagram.

Dalam pada itu, Raja Ilya turut memberitahu tidak sabar untuk pulang ke Malaysia pada tahun hadapan.

“Tak sabar nak balik Malaysia awal tahun depan dengan ‘baby’. 

“Tunggu kami okey,” ujarnya.

Malah, Raja Ilya turut membuka akaun Instagram rasmi anaknya iaitu @talitalovegarret untuk berkongsi momen istimewa anaknya bersama peminat.

Untuk rekod, Raja Ilya dan Trent Garret mendirikan rumah tangga pada 23 Disember 2018.