Satu kebanggaan menjadi rakyat Malaysia yang penuh berbilang kaum, adat budaya dijalani bersama tanpa sebarang prejudis.

Perkongsian Parameswaran Kunaseigaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Param menggambarkan keindahan kehidupan rakyat Malaysia. Jelas Cikgu Param, sedari kecil dia membesar di kawasan majoriti masyarakat Melayu dan cukup sukakan makanan Melayu.

Malah setiap kali tiba Ramadan, dia turut akan berkunjung ke bazar dan mengagihkan juadah berbuka kepada jiran tetangga.

Ulasnya, persaudaraan dan akhlak baik adalah sejenis bahasa yang difahami oleh semua kaum. Dan sehingga kini dia masih terkesan dengan akhlak baik sahabat Melayunya.

“Ya saya Indian.

Walaupun saya ni orang india tapi bila saya pakai baju Melayu dipadankan dengan sampin dan songkok saya rasa bangga sangat.

Bangga kerana saya nampak di Malaysia ini persaudaraan antara kita semua merentas sempadan bangsa.

Saya ni daripada kecil lagi suka berkawan dengan orang Melayu. Senang cerita saya membesar dikawasan yang majoritinya jiran Melayu, tengok cerita – cerita Melayu, minat lagu – lagu Melayu dan suka makanan Melayu.

Setiap kali tibanya bulan Ramadan, saya tidak pernah ketinggalan belikan juadah berbuka puasa dan edarkan kepada jiran tetangga.

Saya ingat lagi setiap kali tiba Hari Raya, saya bersama arwah mak dan ayah akan ke rumah jiran Melayu membantu mengemas rumah mereka, mengecat rumah, memasang langsir dan mengisi biskut dalam balang.

Pada pagi Hari Raya, jiran – jiran Melayu saya akan memberi juadah ketupat, lemang, rendang ayam, sambal udang serta biskut raya kepada kami. Penuh meja makan dibuatnya dan yang pasti sedap.

Pada sebelah malam, saya dan ahli keluarga akan berkunjung ke rumah mereka menyambut Hari Raya dan bermain mercun bersama anak jiran tetangga. Sebak gila weh.

Mereka tak kisah pun saya India ke Melayu. Mereka tetap nak sambut Hari Raya bersama – sama saya dan keluarga. Kalau tak berkunjung ke rumah mereka memang tarik muka dan muncung mulut mereka sebab rapat sangat hihihi.

Duit raya tak payah cerita lah memang ramai yang bagi. Tu yang sampai sekarang bila tiba je musim raya je saya akan tukar duit siap –  siap, saya akan bagi duit raya pada rakan – rakan sekerja dan jiran tetangga. Itulah betapa terkesannya saya dengan akhlak baik kawan – kawan Melayu saya.

Kawan-kawan semua,

Akhlak baik adalah sejenis bahasa yang difahami oleh semua kaum.

Kadang ianya tak terlihat di mata tetapi ia dapat dirasai di hati.

Inilah persaudaraan. Inilah kebanggaan. Inilah Malaysia.

Tak kisah kau Melayu ke India ke Cina ke Kadazan ke Orang Asli ke yang penting kita sama sama warganegara Malaysia.

Kita sehati, kita sejiwa. Kita satu Malaysia.

Cikgu Param,

Bangga punya kawan-kawan Melayu seperti anda semua.

#cikguparam”

Sumber : Parameswaran Kunaseigaran