PELAKON terkenal, Datuk Adi Putra akui berdepan cabaran besar untuk membawakan watak Mat Kilau sehingga pernah dua kali menolak tawaran pengarah Syamsul Yusof.

“Berat memang berat sehingga dua kali saya menolak tawaran daripada Syamsul.

“Tetapi apa sekalipun dengan izin Allah selepas kali yang ketiga saya sahut cabaran dan bekerjasama dengan Syamsul untuk meneruskan perjuangan ini.

“Saya bersama-sama dengan dia mendalami apa itu erti perjuangan dan bukan sahaja faham dan mudahan-mudahan apa yang disampaikan melalui filem ini dapat menyatukan kita,” katanya kepada URTV.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 41, memberitahu ini satu penghormatan buat dirinya dapat melakonkan watak tokoh sejarah negara Malaysia.

Selain itu, pelakon filem KL Gangster itu memberitahu dia ada berjumpa dengan waris-waris tokoh tersebut untuk mendapatkan penghayatan bagi membawakan watak Mat Kilau dengan jayanya.

“Saya ada jumpa dengan beberapa waris. Tapi jika menonton tayangan itu tadi (semalam) dan merasakan kehadiran Mat Kilau dalam pembawaan watak saya, maka adalah itu,” ulasnya ringkas.

Adi Putra bersama barisan teraju utama Mat Kilau di tayangan perdana filem berkenaan

Menurut pelantun lagu Kelahiran itu juga dia tidak terlepas daripada mengalami kecederaan semasa penggambaran filem tersebut.

“Apabila melakonkan filem aksi memang tak akan terlepas daripada kecederaan, dan saya yakin barisan pelakon yang turut mengalaminya semasa tempoh penggambaran.

“Kaki saya ditikam bayonet, dan mengalami luka terbuka yang difahamkan jika perlu saya akan mendapat enam jahitan tapi alhamdulillah saya dapat habiskan penggambaran tanpa perlu dijahit,” katanya.

Filem Mat Kilau bakal ditayangkan pada 23 Jun ini

Pelakon kelahiran Singapura itu turut bersyukur dan berterima kasih kepada barisan pelakon lain dalam menghidupkan lagi jalan penceritaan naskhah epik terbabit .

Watak Mat Kilau yang ditampilkan oleh Adi sememangnya memukau dengan aksi silat yang tidak berpenghujung secara tidak langsung membawa seni bela diri Melayu itu ke peringkat yang lebih tinggi.

Untuk rekod, Adi digandingkan bersama barisan pelakon hebat tanah air antaranya Beto Kusyairy sebagai Wahid, Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin), Khir Rahman (Usup) dan penampilan pelakon bertaraf antarabangsa dari Indonesia Yayan Ruhian sebagai Toga yang juga merangkap pengatur koreografi khas filem ini.

Selain itu, ia turut membariskan pelakon Wan Hanafi Su, Datuk Jalaludin Hassan, Datuk Rahim Razali, Shaharuddin Thamby, A.Galak, Mubarak Majid dan ramai lagi.

Filem tersebut akan ditayangkan di pawagam bermula 23 Jun ini.